Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kawal harga ubat: Kementerian masih bincang dengan pemain industri

Kementerian Kesihatan masih berbincang dengan pemain industri berkaitan dengan mekanisme kawalan harga untuk ubat-ubatan.

"(Perbincangan itu) dijangka berakhir menjelang hujung tahun ini," kata jurucakap kementerian ketika dihubungi.

Kenyataan itu sebagai respons ketika diminta mengulas Persatuan Farmaseutikal Malaysia (Phama) untuk membatalkan pelan kawalan harga.

Pada Mei lalu, Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad mengumumkan bahawa kementerian berhasrat untuk menggunakan Harga Rujukan Eksternal (ERP) untuk menilai harga ubatan di Malaysia bagi membandingkan harga ubatan yang lebih murah di negara-negara tertentu supaya harga ubatan tempatan tidak melebihi tanda aras.

Purata harga terendah akan digunakan untuk menetapkan harga siling untuk ubat-ubatan yang dijual di sini.

Matlamatnya adalah untuk menjadikan kemudahan perubatan swasta lebih murah.

"Jika sektor swasta terlalu mahal, hospital awam akan menjadi sesak," kata Dzulkefly.

Phama, dalam satu kenyataan hari ini, berkata meskipun ia menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan ubat-ubatan lebih mudah diperoleh, mekanisme kawalan harga bukanlah cara yang tepat.

Phama berkata mengawal harga tidak akan menangani kos penjagaan kesihatan jangka panjang.

"Berbanding kawalan harga ubat, kami menggalakkan untuk pengisytiharan harga borong di pasaran bebas kerana ini akan membolehkan kerajaan menetapkan harga dasar yang akan mendorong lebih banyak persaingan dalam kalangan pengilang ubat.

"Ini juga sejajar dengan Amalan Perdagangan Farmasi Baik (GPTP) yang dikeluarkan oleh Program Perkhidmatan Farmaseutikal Kementerian Kesihatan," katanya.

Lihat Komen
ADS