Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir bebas bersuara, kata ketua eksekutif Hong Kong
Diterbitkan:  Oct 4, 2019 6:30 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

GLOBAL | Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam berkata pemimpin luar bebas menyatakan pandangan.

Lam bagaimanapun enggan memberi respons spesifik kepada kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menasihatkan agar dia meletakkan jawatan susulan siri demonstrasi di wilayah pentadbiran khas itu

Pada sidang akhbar di Hong Kong petang ini, Lam ditanya mengenai kenyataan Dr Mahathir yang berkata Lam tahu nuraninya setuju bahawa rakyat Hong Kong di pihak yang betul dalam menolak undang-undang ekstradisi.

"Saya tidak membaca laporan mengenai kenyataan yang dibuat oleh pemimpin luar negara tetapi setiap orang mempunyai kebebasan bersuara.

"Saya tidak akan mengulas mengenai apa yang dikatakan," jawabnya.

Semasa persidangan Lawasia di Petaling Jaya, Selangor pagi ini, Dr Mahathir ditanya mengenai nasihat yang akan dia tawarkan kepada Lam memandangkan siri protes ke atas undang-undang baru yang dicadangkan untuk membenarkan ekstradisi ke China.

Soalan itu diajukan oleh Ketua Persatuan Peguam Hong Kong, Philip Dykes.

"Hakikatnya dia (Lam) kini dalam dilema, dia perlu patuh kepada tuan dan pada masa sama bertanya nuraninya, nuraninya berkata rakyat Hong Kong di pihak yang betul dalam menolak undang-undang. Tetapi dia tahu akibat menolak undang-undang," katanya.

Dr Mahathir juga memberi amaran bahawa China boleh campur tangan dengan menggunakan "tindakan yang keras" terhadap protes itu.

"Saya fikir akhirnya, itu yang akan dilakukan oleh China tetapi untuk pentadbir (Lam), saya fikir jalan yang terbaik adalah untuk meletakkan jawatan," katanya.

Menurut South China Morning Post (SCMP), mesej Dr Mahathir adalah serampang dua mata.

Pada satu pihak, perdana menteri Malaysia kelihatan berpihak kepada penunjuk perasaan dengan meminta peletakan jawatan Lam.

Di pihak yang lain, ia berkata Dr Mahathir seolah-olah memberi amaran kepada penunjuk perasaan tentang "tindakan keras" yang mungkin diambil oleh China.

Dr Mahathir adalah pemimpin dunia pertama yang mencadangkan agar Lam meletakkan jawatan.

Lihat Komen
ADS