'Latheefa cemar nama SPRM dengan buat kenyataan politik'
Naib Presiden PKR Chang Lih Kang menyifatkan Latheefa Koya mencemarkan nama baik SPRM yang diterajuinya dengan membuat kenyataan politik dalam sebuah program semalam.
Chang yang juga ahli parlimen Tanjong Malim berkata demikian merujuk kenyataan Latheefa yang menggesa ahli politik agar komited dalam pembaharuan institusi dan bukan hanya "memberikan ucapan berbunga-bunga tapi hanya berpura-pura berjanji untuk melakukan perubahan."
Chang mengingatkan bahawa Latheefa bukan lagi ahli politik dan sudah keluar PKR sehari selepas dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, maka katanya, beliau perlu tidak mempunyai kecenderungan kepada mana-mana parti politik.
"Beliau (Latheefa) kini adalah seorang penjawat awam yang seharusnya memegang teguh prinsip untuk tidak berpihak ataupun mempunyai kecenderungan kepada mana-mana parti politik apatah lagi kepada ahli politik tertentu.
"Sikap sindir-menyindir ahli politik tertentu hanya mengundang rasa syak wasangka dan menimbulkan kebimbangan awam terhadap tahap profesionalisme beliau sebagai seorang penjawat awam yang mempunyai kedudukan penting dalam memartabatkan kembali kepercayaan rakyat kepada sistem undang-undang dan perlembagaan negara," katanya.
Chang juga menambah bahawa semua pihak terutamanya pemimpin politik dan penjawat awam perlu bertanggungjawab membantu mengembalikan keyakinan umum kepada agensi penguatkuasaan.
"Namun harapan ini hanya akan menjadi sia-sia apabila pihak yang diamanahkan itu sendiri tidak menunjukkan tahap profesionalisme dan. kesungguhan untuk mencapai matlamat semangat Malaysia Baharu itu...
"Saya mengutuk sekeras-kerasnya amalan tidak profesionalisme yang mencemarkan nama baik SPRM," katanya.

