Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan Kelantan digesa menyokong kempen utamakan beli produk muslim (BMF) dan mengkaji semula kelulusan lesen perniagaan kepada syarikat bukan muslim yang menggunakan nama atau logo yang berteraskan Islam.

Saranan itu dibuat oleh Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia cawangan Kelantan yang menegaskan terdapat banyak pihak mempergunakan jenama berasaskan Islam sekali gus mengelirukan pengguna muslim.

Yang Dipertuanya, Abdul Hallim Hamad berkata, pihaknya berpendapat kerajaan negeri sepatutnya memainkan peranan mendukung kempen BMF bagi memastikan kejayaan dalam usaha memperkasakan kepentingan umat Islam di Malaysia.

"Kami menyarankan kerajaan Kelantan dapat mengkaji semula dan menguatkuasakan undang-undang supaya tidak mengeluarkan lesen perniagaan kepada semua syarikat perniagaan milik bukan muslim yang menggunakan nama-nama Islam.

"Kita berpendapat, masih banyak pihak yang daripada pihak bukan Islam menggunakan jenama Islam termasuk kedai makan di negeri Kelantan khususnya," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gerakan kempen BMF yang dilihat mendapat sokongan daripada pelbagai badan bukan kerajaan dan menggesa kerajaan negeri turut memperkasakannya.

Abdul Hallim berkata tindakan menggunakan nama Melayu atau Islam oleh pihak berkenaan dilihat mengelirukan pengguna yang rata-rata merupakan orang Islam.

"Kita dapati kempen BMF ini bukan bertujuan untuk memboikot barangan atau perkhidmatan bukan muslim, sebaliknya bagi memperkasakan ekonomi umat Islam di negara ini.

"Justeru, kita berharap kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengeluarkan garis panduan tertentu kepada peniaga bukan muslim agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan jenama berasaskan Islam," katanya.

Lihat Komen
ADS