Penduduk mahu ladang babi ditutup
Penduduk Melayu di kawasan ternakan babi di Paya Mengkuang dan Bukit Beruang di Alor Gajah, Melaka tidak dapat hidup dengan selesa berikutan bau busuk daripada buangan najis ternakan tersebut yang mengalir masuk ke dalam sungai dan taliair berhampiran perkampungan mereka.
Penduduk Melayu di kawasan ternakan babi di Paya Mengkuang dan Bukit Beruang di Alor Gajah, Melaka tidak dapat hidup dengan selesa berikutan bau busuk daripada buangan najis ternakan tersebut yang mengalir masuk ke dalam sungai dan taliair berhampiran perkampungan mereka.
Dan sungai tersebut mengalir terus ke kawasan pantai di situ yang dikunjungi ramai setiap hujung minggu. Manakala air dari taliair berkenaan pula mengalir ke dalam Sungai Linggi.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Telok Gong, Abu Bakar Darum berkata, mereka pernah menemui tengkorak babi yang masih berdarah di dalam sungai Tuang yang merentasi perkampungan mereka.
"Sungai Tuang dipenuhi lumpur dan buangan dari kawasan ternakan babi dan airnya pula mengalir ke laut dan ini menyebabkan air di muara dan pinggir pantai menjadi hitam dan gatal," katanya.
Tinjauan malaysiakini ke kawasan tersebut mendapati air sungai berkenaan berwarna hitam pekat dengan lumpur yang bercampur dengan najis dan buangan lain dari ladang ternakan babi, memenuhi tebingnya.
Sungai tersebut melalui di bawah jalan utama dan mengalir masuk ke kawasan pantai di situ. Kesan hitam pencemaran berkenaan akan lebih jelas, apabila air laut pasang dan memasuki sungai tersebut surut semula ke laut.
Jumlah babi bertambah
Malah di situ terdapat satu lagi anak sungai yang mengalir masuk ke dalam Sungai Tuang di tepi jalan yang sama. Dari situ, jelas dapat dilihat kehitaman air Sungai Tiang jika dibanding dengan air dari sungai yang lagi satu itu, yang nampak jelas jenihnya.
"Apabila angin bertiup, bau busuk menusuk hidung dan keadaan ini menyebabkan penduduk menjadi tidak selesa terutama pada waktu malam. Keadaan ini juga menyebabkan penduduk merasa loya apabila hendak makan," kata Abu Bakar lagi.
Abu Bakar berkata, masalah ternakan babi ini menjadi semakin rumit kerana kawasan yang sepatutnya hanya menternak 48,000 ekor, telah bertambah menjadi lebih 100,000 ekor.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Sungai Tuang Mohamad Abu Hassan (kanan-bawah) mendakwa hanya seorang penternak di Kampung Paya Mengkuang yang mempunyai lesen dari pihak berkuasa.
"Penternak juga tidak menukar status tanah dari pertanian kepada ternakan," dakwanya.
Beliau juga mendakwa, ada ladang babi yang terletak berhampiran rumah penduduk pada jaraknya hanya 50 meter.
Keadaan ini, katanya, menyebabkan beberapa orang penduduk terpaksa membatalkan cadangan untuk membina rumah di tanah milik mereka kerana ia bersebelahan dengan kawasan ternakan babi.
'Pindah atau tutup ladang'
Wartawan malaysiakini turut dibawa ke kawasan lapang berkenaan yang terletak di sebelah ladang ternakan babi. Bagaimanapun, malaysiakini tidak dapat menemui penghuni rumah berkenaan kerana pintu pagarnya berkunci.
Mohamad berkata, penternak juga jarang bergaul dengan orang kampung menyebabkan mereka sukar untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat.
Seorang penduduk, Kassim Majid (kiri) berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pernah membina sistem penapisan untuk membersihkan air Sungai Tuang, tetapi menemui kegagalan.
"Pernah berlaku air Sungai Tuang melimpah ke kawasan rumah orang Melayu dan ini sungguh menjijikkan," katanya.
Beliau berkata, cara paling baik untuk mengatasi masalah pencemaran itu ialah dengan memindah atau menutup ladang babi berkenaan.
Bahagian kedua: Esok, apa pula kata penternak babi

