Sektor pertanian diunjur berkembang 3.4% pada 2020
Sektor pertanian diunjur berkembang 3.4 peratus pada 2020 dengan sebahagian besar pertumbuhan dipacu oleh pengeluaran subsektor perladangan, ternakan dan pertanian yang lebih tinggi, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan.
Angka ini adalah rendah berbanding perkembangan kukuh sebanyak 4.9 peratus dalam tempoh separuh pertama 2019 dan dijangka 4.3 peratus bagi keseluruhan tahun ini, didorong oleh pemulihan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dan getah asli serta peningkatan output subsektor ternakan dan pertanian lain.
“Subsektor kelapa sawit yang merupakan penyumbang terbesar kepada sektor pertanian diunjurkan kembali pulih 7.7 peratus pada 2019 sebelum kembali ke paras normal 5.5 peratus pada 2020. Prestasi lebih baik ini didorong terutamanya oleh peningkatan pengeluaran MSM berikutan cuaca yang baik dan peluasan kawasan matang kelapa sawit," kata laporan itu.
Eksport MSM pula dijangka bertambah baik berikutan penurunan cukai import oleh India dan jangkaan peningkatan permintaan dari pasaran utama seperti China, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).
Di samping itu, perjanjian perdagangan dua hala dengan China dijangka meningkatkan eksport minyak sawit sebanyak 1.9 juta tan, bernilai RM4.6 bilion dari 2019 hingga 2023, yang menyokong prestasi subsektor ini.
Stok minyak sawit diunjurkan berkurangan kepada 2.5 juta tan pada 2019 dan terus menyusut kepada 2.4 juta tan pada 2020.
Menurut laporan itu, harga MSM adalah pada RM2,015 satu tan dalam tempoh suku pertama 2019 dengan stok berjumlah hampir tiga juta tan.

Harga MSM dijangka kekal rendah iaitu RM2,000 satu tan pada 2019 berikutan stok yang tinggi serta jangkaan penurunan harga minyak mentah dan minyak sayuran lain seperti minyak kacang soya dan minyak biji sesawi.
Bagaimanapun, harga dijangka meningkat kepada RM2,100 setan pada 2020 berikutan peningkatan penggunaan domestik bagi biodiesel serta permintaan lebih tinggi daripada pasaran utama dalam persekitaran persaingan harga berbanding minyak sayuran lain, kata laporan itu.
"Eksport bagi subsektor getah dijangka melonjak semula 7.3 peratus pada 2019 dan berkembang kepada 4.4 peratus pada 2020, didorong oleh pengeluaran getah asli lebih tinggi berikutan penambahan kawasan matang sebanyak 50,000 hektar," menurut laporan itu.
Manakala bagi subsektor ternakan pula, ia dianggarkan berkembang 5.6 peratus pada 2019 dan 5.1 peratus pada 2020 berikutan peningkatan permintaan dari pasaran domestik dan eksport.
Menurut laporan itu, sektor perlombongan pula dijangka mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak 0.3 peratus pada 2020 didorong oleh permintaan domestik yang lebih kukuh daripada industri petrokimia serta peningkatan eksport gas asli cecair terutama ke China, Jepun dan Korea Selatan.
Subsektor ini dijangka mendapat manfaat daripada permulaan operasi Pembangunan Medan Penuh Lembagan Melayu Utara di Semenanjung Malaysia serta projek Gorek, Bersepadu Bokor (Fasa 3) and pembangunan semula Betty di Sarawak.
Laporan itu menjelaskan harga minyak mentah akan dipengaruhi oleh ketidaktentuan pertumbuhan global; pengurangan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC; pengeluaran minyak AS; ketegangan perdagangan antara AS dan China; dan pergolakan geopolitik (terutamanya di Iran, Iraq, Libya dan Venezuela).
- Bernama


