Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Diskaun 18% di semua lebuh raya Plus
Diterbitkan:  Oct 11, 2019 6:53 PM
Dikemaskini: 10:53 AM

Rakyat bakal diberikan diskaun purata sebanyak 18 peratus di semua lebuh raya milik Plus sebagai usaha merealisasikan penghapusan tol secara berperingkat seperti dijanjikan kerajaan.

Berita gembira itu diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

“Selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan (PH), rakyat boleh menikmati diskaun sebanyak 18 peratus secara purata di semua lebuh raya milik Plus,” kata Lim dalam pembentangannya.

Kata Lim, pemberian diskaun itu akan mampu memberikan penjimatan sehingga RM1.13 bilion kepada pengguna pada tahun depan, dan penjimatan sebanyak RM43 bilion sepanjang baki tempoh konsesi lebuh raya sehingga 2038.

Bagaimanapun tiada perincian didedahkan beliau, termasuklah berhubung tarikh pelaksanaannya.

Jelas Lim juga, bagi melunaskan janji manifesto PH, kerajaan akan melaksanakan rundingan untuk mendapatkan harga terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

Katanya lagi, kerajaan kini sedang menimbangkan kesemua cadangan yang diterima, termasuk daripada Khazanah Nasional Berhad, untuk mengambil alih atau melupuskan semua saham Plus.

“Cadangan yang diterima hendaklah memberi impak positif fiskal dan tidak meningkatkan beban hutang dan bayaran khidmat hutang Kerajaan,” katanya lagi.

Selain itu, Lim turut memaklumkan bahawa Jemaah Menteri telah meluluskan pengambilalihan empat lebuh raya Lembah Klang iaitu Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Sprint (SPRINT) dan Terowong SMART (SMART).

Caj kesesakan juga turut diperkenalkan, dengan caj kesesakan pada waktu sekitar puncak dan waktu biasa diturunkan sehingga 30 peratus berbanding dengan kadar tol semasa serta percuma semasa waktu bukan puncak.

“Konsesi sedia ada tidak akan dilanjutkan dan akan tamat mengikut perjanjian konsesi sedia ada,” katanya lagi.

Pemansuhan kutipan tol secara berperingkat merupakan janji keenam dalam manifesto PH seperti tercatat dalam Buku Harapan.

Dalam janji tersebut, PH memandang penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya dan lebuh raya sebagai tanggungjawab kerajaan untuk rakyat, justeru berjanji untuk mengambil alih konsesi dengan pampasan yang adil kepada syarikat berkaitan. 

Lihat Komen
ADS