Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RM1.3b peruntukan pentadbiran Islam, naik RM100j - Mujahid
Diterbitkan:  Oct 11, 2019 9:37 PM
Dikemaskini: 1:37 PM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof menyifatkan peningkatan konsisten RM100 juta untuk pentadbiran Islam dalam dua belanjawan sejak PH mentadbir kerajaan, sebagai bukti ia sentiasa meletakkan kepentingan Islam sebagai agama Persekutuan.

Katanya, pada belanjawan 2019 lalu, peruntukan untuk pentadbiran Islam meningkat daripada RM1.1 (2018) bilion kepada RM1.2 bilion, manakala untuk tahun 2020 pula, ia meningkat lagi kepada RM1.3 bilion.

“Ini menunjukkan kerajaan PH sentiasa mahukan kelestarian pentadbiran Islam dalam perbelanjaan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Mujahid turut meluahkan kegembiraan terhadap perkara-perkara lain yang diberikan perhatian dalam pentadbiran Islam, seperti kebajikan guru-guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa), imam, bilal, tok siak, guru takmir, dasar Rahmatan Lil Alamin dan kewangan Islam.

Ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat petang tadi, Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat berkata kerajaan akan terus menegakkan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Antara lain, RM50 juta diperuntukkan buat elaun guru Kafa (peningkatan RM100 sebulan), dan pemberian sumbangan one-off RM500 kepada imam, bilal, tok siak dan guru takmir, serta peruntukan RM50 juta kepada sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat dan persendirian.

Selain itu, RM10 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan dasar Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), selain penubuhan Jawatankuasa Khas Kewangan Islam (JKKI).

“Tidak syak lagi segala komen negatif bahawa kerajaan PH tidak membela Islam adalah slogan kosong yang tidak berasas.

“Berpandukan kepada komitmen PH dalam bajet kali ini, Islam dan kerajaan berpisah tiada.

“Semoga tahun 2020 menyaksikan hasil yang baik untuk pentadbiran Islam menyumbang kepada kemakmuran negara,” katanya.

Lihat Komen
ADS