Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada tarikh jelas tukar PM jejas pelaburan, kata KJ

PARLIMEN | Ketiadaan jangka masa khusus untuk Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim menimbulkan keraguan dalam kalangan pelabur tempatan dan asing, kata Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Jelas Khairy, hal itu menyebabkan pelabur berkira-kira untuk melabur dan mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia.

Kata bekas menteri itu, keadaan yang dialami mendorong kadar pelaburan swasta pada separuh pertama tahun ii menurun 1.9 peratus.

“Mereka tidak melabur dalam sektor perkilangan, dalam peralatan, sebab tiada hala tuju yang jelas dari segi ekonomi dan wujud kerisauan politik,” katanya di Dewan Rakyat semasa membahaskan Belanjawan 2020 hari ini.

Walaupun pelabur bergurau mengenai isu itu, kata Khairy tetapi mereka tetap berasa bimbang.

“Saya nak sebut bahawa saya berjumpa dengan ramai pelabur antarabangsa, dan mereka sebut bahawa masalah peralihan kuasa ini bukan hanya masalah politik, bukan masalah bahan jenaka politik, tetapi masalah yang serius.

"Apabila tidak ada jangka masa yang jelas bila berlakunya peralihan kuasa ini, perniagaan tidak akan melabur.

“Ini adalah maklum balas yang saya terima daripada syarikat-syarikat tempatan dan pelabur luar negara yang mengatakan bahawa Malaysia unik, kerana keputusan untuk buat pelaburan itu namun banyak berkait keadaan politik yang timbul keraguan,” katanya.

Isu perubahan iklim

Khairy yang sebelum ini pernah menjadi ketua Pemuda Umno menambah keadaan sekarang ini adalah petanda yang buruk.

Katanya apabila kadar pelaburan merudum ia bermakna perniagaan tidak dapat membuat pelaburan baru.

Sebagai langkah persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU), PH bersetuju melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri menggantikan Najib jika BN berjaya dikalahkan.

Asalnya PH mencalonkan Anwar. Namun keadaan Anwar yang ketika itu dipenjara mendorong mereka - yang menjadi pembangkang sebelum 9 Mei 2018 - menamakan Mahathir sebagai perdana menteri, manakala Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya.

Mengikut perancangan, Mahathir kemudian akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar, namun tiada masa yang khusus dinyatakan untuk proses peralihan tersebut.

Mahathir beberapa kali mengulangi kenyataan bahawa beliau akan melepaskan jawatan tersebut kepada Anwar.

Sementara itu, Khairy juga mengkritik Putrajaya kerana gagal menangani isu masalah perubahan iklim dalam Belanjawan 2020 dibentang pada 11 Okt lalu.

“Pada bulan September, satu dunia gegar dengan mogok iklim. Tiada sepatah pun daripada kerajaan PH tentang perubahan iklim,” katanya.

Menurut Khairy, Menteri Kewangan Lim Guan Eng ada menyebut mengenai bas elektrik namun tiada komitmen daripada kerajaan untuk menangani isu perubahan iklim atau alam sekitar.

“Tidak disebut pembersihan lautan, pemuliharaan terumbu karang dan macam-macam lagi dalam konteks perubahan iklim.

“Jadi saya risau apabila kita melihat remaja-remaja satu dunia mogok pada Sept lalu, membangkitkan isu perubahan iklim di PBB dan sebagainya, tetapi dalam ucapan yang kononnya kalis masa depan - yang ada disebut sekarang ini - tiada sepatah pun sebut mengenai perubahan iklim,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS