Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penduduk Sabah mungkin tak dikenakan syarat masuk S'wak - Abang Jo
Diterbitkan:  Oct 15, 2019 9:29 AM
Dikemaskini: 1:29 AM

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Tun Openg membayangkan akan tiba masanya penduduk Sabah tidak akan dikenakan sebarang syarat untuk memasuki Sarawak.

Beliau berkata pada masa kini pun tidak ada masalah untuk penduduk di kedua-dua negeri keluar masuk Sabah dan Sarawak selain tiada bayaran dikenakan.

"Ada beberapa aspek yang perlu kita lihat dan sebenarnya untuk Sabah dan Sarawak tiada masalah mengenai perkara itu.

"Namun ada beberapa faktor yang perlu difahami dan diambil kira, termasuk faktor geopolitik," katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam anjuran kerajaan negeri untuk meraikan beliau dan rombongan, yang sedang melakukan lawatan dua hari ke Sabah, malam tadi.

Pada masa kini penduduk Sabah menggunakan Pas Lawatan Sosial atau pasport untuk memasuki Sarawak.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatannya bersama rombongan ke Sabah, Abang Johari berkata ia bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan setia kawan antara kedua-dua negeri.

"Terima kasih dengan sambutan meriah yang diberikan khususnya daripada Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal kepada kami dan banyak perkara yang kita boleh lakukan dengan adanya hubungan baik seperti ini,” katanya.

Beliau berkata antara yang boleh dilaksanakan termasuk mempertingkatkan lagi pembangunan dan jaringan perhubungan yang seterusnya melonjakkan lagi industri pelancongan kedua-dua pihak,

"Sudah tentunya Sarawak akan memainkan peranan dalam rangka kerjasama dengan Sabah, Brunei dan Indonesia… kerana saya yakin dan penuh percaya bahawa ini akan beri manfaat kepada kita semua khususnya kepada Malaysia kerana wilayah Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada negara ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata lawatan balas daripada Ketua Menteri Sarawak adalah satu langkah yang cukup baik dalam usaha memperkuatkan hubungan untuk membina sebuah negara Malaysia.

"Banyak perkara yang kita boleh lakukan demi generasi akan datang.

"Sabah dan Sarawak mempunyai persamaan dari segi budaya, adat resam serta agama dan ia sudah tentu menjadi kebanggaan kita kerana walaupun kita hidup dalam kepelbagaian namun kita sentiada hidup aman dan damai," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS