Mustafa cadang Nik Aziz debat dengan Pak Lah
Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mustafa Ali mencadangkan debat terbuka diadakan di antara Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi.
Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mustafa Ali mencadangkan debat terbuka diadakan di antara Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi.
Katanya apabila kedua-dua tokoh itu ditemukan barulah bertemu buku dengan ruas dan setaraf dengan kedudukan masing-masing.
"Kalau setakat Datuk Annuar calon PAS yang paling sesuai ialah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa," katanya bagi mengulas pelawaan Menteri Penerangan, Datuk Zainudin Maidin pada Nik Aziz untuk berdebat dengan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa mengenai Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dalam rancangan Debat Perdana RTM.
Sambil menyatakan PAS tidak mengiktiraf Menteri Penerangan sebagai Umno dan jurucakap Umno Mustapa juga menegaskan beliau tidak pernah percaya ada pihak-pihak dalam yang bersungguh-sungguh hendak berdebat dengan PAS atau Nik Abdul Aziz.
Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Bachok Datuk Dr Illias Hussain pula menyifatkan, keengganan Nik Aziz berdebat dengan Annuar sebagai satu sikap lepas tangan seorang Menteri Besar.
"Ini memang sifat Nik Aziz yang selalu bercakap bahawa dia seorang sahaja yang betul dan orang lain semua salah.
"Wakil rakyat Umno pernah bertanyakan hal ini dalam persidangan dewan undangan negeri tetapi Nik Aziz membandingkan negeri Kelantan dengan negeri lain. Beliau tidak menjawab persoalan dalam negeri Kelantan," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelawat itu.
Dr Illias berkata, Annuar memang bersungguh-sungguh untuk mengadakan debat dengan Nik Aziz bagi membolehkan orang ramai menilai sendiri semua dakwaan Menteri Besar Kelantan itu terhadap RMK9.

