Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Melayu catat kes kebankrapan paling tinggi’

PARLIMEN l Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan sebanyak 80,625 kes kebankrapan direkodkan Jabatan Insolvensi Malaysia sejak 2015 sehingga Ogos lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata daripada jumlah itu, bangsa Melayu mencatat jumlah tertinggi sebanyak 45,147 kes diikuti Cina pada kedudukan kedua berjumlah 20,914.

“Bagi kaum India pula jumlahnya 9,127 kes sementara bangsa-bangsa lain berjumlah 5,437 kes,” katanya.

Liew menjawab soalan Willie Anak Mongin (PH-Puncak Borneo) yang ingin tahu jumlah rakyat Malaysia diisytiharkan muflis dan strategi kerajaan untuk membantu mereka termasuk program celik kewangan.

Beliau juga mendedahkan sepanjang tempoh empat tahun itu, golongan lelaki merupakan paling banyak diisytiharkan bangkrap dengan jumlah seramai 56,173 orang manakala wanita pula berjumlah 24,452.

Golongan berumur 35 hingga 44 tahun pula mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu berjumlah 28,296 kes.

“Bagi umur di bawah umur 25 tahun, jumlahnya bermula 2015 sehingga Ogos 2019 sebanyak 476 kes, umur 25-34 tahub berjumlah 20,461 kes, 45-54 tahun berjumlah 20,353, sementara bagi mereka berumur 55 tahun ke atas berjumlah 10,415 dan bagi umur yang tidak mempunyai maklumat berjumlah 624,” katanya.

Walau bagaimanapun Liew berkata, pihak kerajaan setiasa berusaha mengurangkan kadar kes-kes kebankrapan di Malaysia.

“Tidak dinafikan golongan belia pada masa kini dipengaruhi dengan trend terkini yang menyebabkan golongan ini berbelanja di luar kemampuan pendapatan.

“Antara langkah dan strategi kerajaan bagi membantu golongan ini ialah dengan memberi kesedaran serta kefahaman kepada individu itu sendiri dan masyarakat tentang risiko atau kesan daripada perintah kebankrapan.

“Kesedaran ini dapat diterap melalui pendidikan dan pendekatan perbelanjaan yang berhemah.

“Kerajaan melalui Jabatan Insolvensi juga telah melaksanakan program bagi mewujudkan kesedaran masyarakat tentang isu muflis seperti outreach programme yang telah dilaksanakan oleh cawangan-cawangan Jabatan Insolvensi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Liew turut memaklumkan pihak Jabatan Insolvensi telah berjaya membebaskan lebih 30,000 individu daripada dikenakan muflis.

“Pihak insolvensi berjaya bebaskan lebih 30,000 kes dari jangkaan masa yang saya sabutkan tadi dari jumlah 300,908 kes.

“Pihak Jabatan Insolvensi juga aktif mengemaskini rekod muflis dari sebelum merdeka dan termasuk mereka melibatkan zaman 60-an, saya juga ambil maklum memang terdapat mereka yang muflis lebih 15 tahun, kita juga mencadangkan mereka yang terlibat datang berjumpa pihak Jabatan Insolvensi buat permohoan melalui peguam mereka untuk dapatkan kebebasan,” katanya.

Lihat Komen
ADS