Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mara Digital Mall di Kuantan, JB rugi - operasi ditutup
Diterbitkan:  Oct 17, 2019 7:15 PM
Dikemaskini: Oct 18, 2019 5:17 AM

PARLIMEN l Operasi Mara Digital Mall di dua negeri dihentikan memandangkan kadar jualan yang rendah dan tidak setimpal dengan kos operasi perniagaan.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen hari ini menjelaskan kadar jualan yang rendah dan tidak setimpal dengan kos operasi yang dikeluarkan telah menyebabkan penyewa mengambil keputusan untuk tidak meneruskan operasi di premis itu.

"Mara Digital Kuantan dihentikan operasi pada Disember 2018 dan Mara Digital Johor Bahru pada Februari 2019," kata KPLB.

Ia sebagai menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang mahu tahu status Mara Digital Mall di Medan Mara Kuala Lumpur, Shah Alam, Selangor; Kuantan, Pahang dan Johor Bahru, Johor.

Beliau juga mahukan penjelasan sama ada Mara akan menambahkan pembukaannya di negeri lain seperti yang telah dirancangkan dahulu.

KPLB berkata Mara Digital Menara Mara Kuala Lumpur masih beroperasi dengan 11 lot dan 16 kiosk melibatkan 11 orang usahawan dengan jumlah jualan tahunan sebanyak RM4,670,250 setakat Ogos lalu.

Menurut kementerian itu, Mara Digital Shah Alam telah dihentikan operasi pada Mac 2018 yang lalu bagi kerja-kerja menaik taraf premis berkenaan kepada Pusat Transformasi Bandar (UTC) Shah Alam.

UTC Shah Alam telah beroperasi semula pada 15 Ogos 2018 dan MARA Digital tidak lagi diteruskan sebaliknya hanya menjalankan perniagaan berkonsepkan ICT menggunakan kiosk sahaja, katanya.

KPLB menambah sekiranya terdapat keperluan pembukaan MARA Digital, MARA akan membuat kajian terperinci serta analisa kajian kemungkinan bagi memastikan ia dapat memberi manfaat kepada usahawan ICT yang terlibat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS