Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

"Bagaimana media cetak akan terus hidup sekiranya generasi akan datang tidak membaca akhbar?" tanya wartawan veteran A Kadir Jasin semasa forum Kelangsungan Media Cetak: Mengapa Dilayar Jika Boleh Dicetak? di Shah Alam hari ini.

Kadir berkata demikian selepas moderator Prof Abdul Hamid Mohamed bertanya kepada hadirin - terdiri daripada ahli akademik, penuntut universiti awam dan swasta, serta tetamu lain - sama ada mereka membaca akhbar pagi tadi.

Hampir tidak ada seorang pun yang mengangkat tangan.

"Daripada kajian tadi, tiada siapa pun yang membaca akhbar hari ini. Kalau inilah kelompok ekonomi yang akan menyokong media cetak, maka media cetak sudah mati. Saya sangkakan ada masa depan buat media cetak.

"Andalah orang yang akan menentukan masa depan akhbar, kelangsungan akhbar terletak pada anda," tegas Kadir yang juga penasihat media dan komunikasi di Pejabat Perdana Menteri.

Beliau seterusnya memperjelaskan bahawa akhbar hanya terus relevan sekiranya masih dibeli dan dibaca orang ramai, dan ia lambat laun akan lenyap tanpa sokongan pembaca.

Selain itu, budaya membaca perlu dihidupkan semula, dan Kadir menggesa supaya usaha itu dimulakan dengan ibu bapa yang seharusnya "memberi anak mereka makanan bagi minda".

"Saya membaca akhbar bukan sebab saya tiada maklumat, tetapi sebab ia satu kebiasaan. Tetapi anda tidak pernah membentuk kebiasaan untuk membaca akhbar," katanya.

Penguasaan bahasa merosot

Di sebalik kebimbangan berhubung kerelevanan akhbar, Kadir berharap agar media cetak terus hidup kerana ia lebih dipercayai dan memaparkan kandungan berkualiti.

"Satu-satunya perkara yang perlu dibimbangkan adalah pengaruh media sosial yang amat kuat terhadap kehidupan seseorang," kata Kadir, sambil menarik perhatian bagaimana sesetengah wartawan memetik individu daripada platform media sosial.

"Mungkin pada masa depan, kita akan bergantung kepada 'membawang' (gosip) sebagai sumber berita,” katanya berseloroh.

Sebelum menamatkan perbincangan itu, Kadir memberi amaran tentang kualiti laporan semasa media berikutan bahasa Melayu dan Inggeris yang merosot begitu teruk.

"Saya lebih bimbang jika apa yang dikatakan penyelamat syarikat akhbar di negara ini tidak membawa perubahan dan penambahbaikan yang dihasratkan bagi memastikan kewartawanan yang baik,” katanya.

Selain Kadir, panelis lain dalam forum itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong; penasihat kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Khalid Jaafar; dan Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Sufian Hamdan.

Forum itu yang dihadiri kira-kira 150 peserta, dianjurkan oleh Persatuan Alumni Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Rembau, Negeri Sembilan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS