mk-logo
Berita
Saddiq penuhi 'permintaan arwah MP': Umum RM4j untuk Tg Piai
Diterbitkan:  Oct 19, 2019 2:13 PM
Dikemaskini: 2:13 PM

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengumumkan peruntukan persekutuan RM4 juta untuk menaik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai.

Saddiq Syed dipetik Malay Mail berkata jumlah ini sebahagian daripada peruntukan RM14.6 juta yang dipohon Anggota Parlimen Tanjung Piai Dr Md Farid Md Rafik.

"Kami hanya memenuhi permintaan Md Farid memandangkan pembangunan semula kemudahan sukan di Tanjung Piai adalah permintaan peribadi oleh beliau.

"Sepanjang beliau menjadi ahli parlimen, beliau sentiasa menegaskan keperluan untuk pembangunan di Tanjung Piai dengan kementerian yang beliau temui," jelas Syed Saddiq.

Sementara itu, Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda PH mengumumkan kempen 'listening tours' sebagai cara terbaik untuk mendekati masyarakat di Tanjung Piai.

"Kita sudah bekerjasama dengan bilik gerakan di sini (Parlimen Tanjung Piai) sejak dua minggu lepas dan kalau boleh, kita hendak rancakkan sebanyak mungkin dan saya sudah maklumkan kepada pimpinan muda kita bukan sahaja Armada tetapi termasuk Pemuda Harapan, cara terbaik (dekati masyarakat) adalah menerusi 'listening tours' di mana kita jangan tidur di hotel atau hostel.

"Melalui program ini, kita perlu pasang telinga, mendengar masalah, rintihan dan itu cara terbaik untuk kita akrab dengan mereka yang kita panggil program anak angkat yang kita hendak gerakkan di seluruh kawasan di Tanjung Piai," katanya.

 

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini