Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Lima projek mega untuk Kelantan tetap jadi keutamaan'

Lima projek mega berimpak tinggi yang diumumkan oleh kerajaan persekutuan untuk negeri Kelantan sebelum ini tetap akan menjadi keutamaan, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Jidin.

Menurutnya, semua pihak perlu faham konsep pembentangan Belanjawan 2020 yang mengumumkan sesuatu perkara secara keseluruhan sebaliknya tidak diperincikan semua projek yang melibatkan kementerian tertentu.

"Pertama saya mahu jelaskan mengenai konsep pembentangan belanjawan, ia tidak akan sebut semua projek di seluruh negara. Kalau nak bentang semua, akan mengambil masa berjam-jam. Itu kena faham.

"Jadi seperti mana kita tahu, mengenai projek-projek tersebut (di Kelantan) kita tunggu menteri hal ehwal ekonomi dalam sesi penggulungan di parlimen menjelaskan kalau ada persoalan mengenai negeri Kelantan. Kita akan jawab dengan lebih mendalam di parlimen.

"Tidak bermakna apabila tidak disebut secara spesifik dalam Belanjawan 2020 maknanya tidak ada apa-apa. Itu adalah pembentangan secara keseluruhan," katanya kepada media selepas majlis perasmian Pembukaan Projek Membina Lebuh Raya Dari Kota Bharu ke Kuala Krai, Kelantan bagi Pakej 2A: Kadok ke Ketereh di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah sebelum ini menyatakan lima projek utama untuk negeri Kelantan tidak dapat dilaksanakan kerana tidak dinyatakan dalam Belanjawan 2020.

Pada 7 Mac lalu, menteri hal ehwal ekonomi ketika lawatan ke Kelantan mengumumkan kerajaan persekutuan meluluskan tambahan RM200 juta untuk pembangunan negeri itu, menjadikan peruntukan keseluruhan disalurkan kepada Kelantan menerusi Kajian Separuh Penggal RMK-11 sebanyak RM1.4 bilion.

Beliau berkata, menerusi peruntukan itu, lima projek pembangunan untuk rakyat di Kelantan diluluskan pada mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pada 4 Mac lalu.

Ia membabitkan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), laluan baru Pasir Puteh - Machang - Jeli, Lebuhraya Kota Bharu - Kuala Krai dan Jambatan Palekbang - Kota Bharu.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata, perkara itu akan diperincikan dalam masa terdekat, dan pihaknya menegaskan bahawa projek-projek yang dinyatakan merupakan keutamaan untuk negeri Kelantan.

"Mengenai tempoh pelaksanaannya bila itu akan bergantung kepada keadaan dan peruntukan yang ada, tetapi apa yang perlu dijelaskan ia keutamaan yang ditekankan untuk Kelantan," katanya.

Lihat Komen
ADS