BERITA Malaysiakini

Pekerja restoran didakwa miliki 4 majalah berkait IS

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Seorang pekerja restoran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini atas pertuduhan memiliki majalah berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas IS.

Hafiz Othman, 42, hanya menggangguk faham dan tiada sebarang pengakuan direkodkan setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan, Hafiz didakwa memiliki empat naskhah majalah iaitu Dabiq - Kembalinya Khalifah; Dabiq - The Flood; Dabiq - Panggilan Untuk Hijrah dan Al-Mustaqbal - The Last War (Malhamah Al Kubro) yang berkaitan dengan kumpulan pengganas IS.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Malim Nawar, Kampung Changkat Baru, Malim Nawar di Kampar kira-kira pukul 2.30 petang pada 18 Mei lepas.

Bagi pertuduhan itu, Hafiz didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Asif Mohd Noor.

Terdahulu, Mohd Izhanudin memohon mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan kerana pertuduhan di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan, selain memohon agar kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dibicarakan.

Hakim Norashima kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan itu.

Pada 30 Mei lepas, Hafiz turut didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas tuduhan pergi ke Wilayah Sinai Mesir dari Malaysia dengan niat melakukan aktiviti keganasan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pintu C1 Terminal Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.05 petang, 17 Mei lepas mengikut Seksyen 130 JA Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun berserta denda.

- Bernama