Malaysiakini BERITA

Penoreh getah didenda RM5K miliki gambar, video lucah

Bernama

Diterbitkan

Tindakan seorang penoreh getah yang memiliki gambar dan video lucah membawa padah apabila dia didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di Raub, hari ini.

Hakim Mazelan Jamaludin menjatuhkan hukuman itu ke atas Ruziman Kamaruzaman, 27, selepas dia mengaku bersalah atas perbuatannya.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Ruziman didakwa memiliki sembilan keping gambar lucah dan satu video lucah yang disimpan di dalam telefon bimbitnya di hadapan premis membeli getah beku di Kampung Ulu Atok Sega, di sini, pada 11.45 pagi, 5 Sept 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 292 kanun yang sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, lelaki itu yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah dia memperoleh bahan lucah itu dari aplikasi Telegram di telefon bimbitnya dan memohon dijatuhi hukuman paling minima kerana dia tiada pendapatan tetap.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd Zameri bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhi hukuman denda setimpal kepada tertuduh.

- Bernama