Selangor teruskan kajian tambah baik skim mikrokredit
Kerajaan Selangor menerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga akan membuat kajian lanjut berhubung tahap dan indeks keberkesanan Program Mikrokredit terhadap pemerdayaan ibu tunggal di negeri itu.
Exconya Dr Siti Mariah Mahmud berkata langkah tersebut perlu sebagai penyelesaian kepada kekurangan program tersebut.
“Seperti yang kita ketahui inisiatif program mikrokredit ini diasaskan oleh seorang Prof Muhammad Yunus untuk mengatasi masalah kemiskinan, dan merupakan salah satu cara untuk kita basmi kemiskinan
“Bagaimanapun, selepas perbincangan tadi banyak cadangan dan saranan untuk kita tambah baik program tersebut dan kita bersetuju bahawa ini bukanlah kajian pertama dan kita akan panjangkan kajian tentang keperluan ibu tunggal dan cari jalan selesaikan masalah mereka secara komprehensif dalam keluarkan mereka daripada kemiskinan,” katanya kepada pemberita di Shah Alam, hari ini.
Mengulas lanjut, Siti Mariah berkata di Malaysia terdapat banyak program mikrokredit dan salah satunya adalah skim mikrokredit Hijrah Selangor yang diperkenalkan pada 2010.
Kata Siti Mariah, menerusi program tersebut hampir 70 peratus penerima merupakan golongan wanita dan ibu tunggal.
Jelas Siti Mariah, perbincangan lanjutan akan dilakukan dengan NGO dan badan-badan yang selama ini melaksanakan skim mikrokredit kepada ibu tunggal.
“Kita perlu mengumpul data dan maklumat yang ada lebih dan dari situ kita akan rangka langkah seterusnya. Oleh Itu, saya bercadang untuk mengadakan satu program townhall bersama ibu tunggal dalam masa terdekat,” katanya.
Selain itu, Siti Mariah yang juga Adun Seri Serdang berkata pihaknya juga akan menubuhkan sistem ‘mentoring’ dan ‘networking’ bagi peminjam mikrokredit khususnya golongan ibu tunggal.
“Sistem tersebut sangat diperlukan sebab pemberian dana sahaja tak mampu keluarkan mereka dari kemiskinan, kita perlu meluaskan lagi penglibatan kerajaan Selangor dalam membantu ibu tunggal ini.
“Kita juga tingkatkan siri latihan kepimpinan wanita dan kemahiran serta perkasakan sistem pengurusan dan pangkalan data secara efisyen dan mudah,” katanya.
Terdahulu, Institut Wanita Berdaya (IWB) membuat satu kajian berhubung tahap dan indeks keberkesanan Program Mikrokredit terhadap pemerdayaan ibu tunggal di negeri itu.
Hasil dapatan itu mendapati majoriti ibu tunggal sebanyak 69.9 peratus yang mempunyai bilangan isi rumah satu hingga empat orang berjaya meningkatkan purata pendapatan mereka sebanyak 19 peratus selepas menyertai skim tersebut.

