Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bomba cilik' hidap kanser otak meninggal dunia

‘Bomba cilik’ penghidap kanser otak, Ahmad Danial Ahmad Suhairi, yang pernah menarik perhatian ramai apabila Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunaikan impiannya untuk menjadi anggota bomba, Oktober lepas, meninggal dunia, awal pagi tadi.

Bapanya, Ahmad Suhairi Ali, 33, berkata kanak-kanak bersia tujuh tahun itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam pada 4.20 pagi di Hospital Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Bandar Indera Mahkota, Kuantan, selepas didapati tidak sedarkan diri.

“Masa saya balik dari tempat kerja jam 12 tengah malam, Danial kelihatan biasa. Dia baru saja termuntah dan saya cuba sedut kahak dan ubah kedudukannya tetapi saya perasan Danial diam tak bernafas.

“Kami cuba bagi bantuan pernafasan (CPR) tetapi masih tiada reaksi sebelum bergegas membawa Danial ke hospital dan pihak hospital kemudian mengesahkan Danial telah meninggal dunia dalam perjalanan,” katanya.

Ahmad Suhairi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengebumian jenazah Ahmad Danial selesai kira-kira jam 10.30 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pantai Beserah, Kuantan.

“Saya reda dan bersyukur kerana dapat menunaikan hajat Danial dan saya juga berterima kasih dengan pihak terlibat yang membantu menunaikan hajat Danial untuk menjadi anggota bomba," katanya.

Pada 5 Okt lalu, JBPM Pahang menunaikan impian kanak-kanak itu untuk menjadi anggota bomba dalam program Untukmu Danial: Potret Seorang Pejuang, di Masjid Beserah di sini.

Pada program itu, Ahmad Danial mengenakan pakaian seragam anggota bomba lengkap dengan tanda nama, topi, kasut but dan beg serta dibawa mengelilingi kawasan sekitar Beserah menaiki jentera bomba yang dipandu sendiri oleh Pengarah JBPM Pahang, Nor Hisham Mohammad.

Anak sulung daripada tiga beradik itu disahkan menghidap kanser otak jenis diffuse intrinsic pontine glioma (DIPG) tahap empat yang dikesan pada Mac lepas.

Tahap kesihatan Ahmad Danial merosot dengan cepat dan hanya terlantar serta tidak lagi mampu memberi respons fizikal sejak Mei lepas dan diisytiharkan berada dalam keadaan paliatif.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS