Kertas pelaksanaan dasar pentadbiran Islam baharu melalui pendekatan RAHMAH sudah dipersetujui dan mendapat kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM), hari ini.

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kertas dasar yang mengutamakan pendekatan Rahmatan Lil Álamin itu diharap dapat mengubah pandangan terhadap Islam yang ketika ini diuji dengan fahaman jalur Islam yang ekstrim serta Islamophobia.

Menurut kenyataan itu dasar berkenaan juga bersifat universal, inklusif, telus dan menyantuni bagi melahirkan masyarakat serta kehidupan lebih harmoni.

“Pelaksanaan dasar ini juga diharap mampu memberi impak positif kepada rakyat dan negara dari aspek meningkatkan kesejahteraan sosial, kemakmuran dan perpaduan hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

“Harapan ini selari dengan hasrat manifesto Pakatan Harapan dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan baru-baru ini,” menurutnya.

Selain itu, prinsip Maqasid Syariah turut dijadikan teras dalam pembentukan dasar pentadbiran yang bercirikan Pentadbiran Islam Model Malaysia bersesuaian dengan suasana, adat dan budaya bangsa Malaysia untuk dijadikan sebagai penanda aras global.

Untuk rekod dasar pentadbiran Islam melalui pendekatan RAHMAH telah diperkenan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam ke-65 pada 14 Mac lepas dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-254 pada 4 Julai lepas.

Berikutan itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bertindak sebagai agensi pelaksana, manakala seluruh agensi pentadbiran Islam Persekutuan ditugas untuk menjayakan dasar itu mengikut bidang masing-masing.

“Pentadbiran Islam juga akan bekerjasama rentas kementerian pada bidang yang dikongsi kepentingannya bersama. InsyaAllah, diharapkan agar perjalanan menuju sebuah negara RAHMAH akan dicapai dengan kerjasama semua pihak,” tambahnya.

- Bernama