Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ugutan bunuh Kit Siang: Hata Wahari dibebaskan dengan jaminan polis

Bekas pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Mohd Hata Wahari, yang direman selama empat hari sejak Selasa lalu, hari ini dibebaskan dengan jaminan polis pada kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Hata ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau ditahan polis di Temerloh, Pahang dipercayai bagi membantu siasatan ugutan bunuh terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang berhubung hantarannya melalui media sosial.

“Ini pertama kali selepas 24 tahun saya saya jadi wartawan, saya ditahan reman sebab menulis sesuatu persepsi yang disalah sangka . Ini pertama kali dalam hidup sayalah,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Penangkapan itu dipercayai adalah susulan laporan polis yang difailkan oleh Ketua Pemuda DAP Howard Lee Chuan How di Jelapang, Perak minggu lalu.

Dia antara lain didakwa menulis dan memuatnaikkan di Facebook dengan perkataan tertera: "Lim Kit Siang ini sudah wajib dibunuh".

Mengulas lanjut penahanannya, Hata berkata beliau kesal dengan apa yang berlaku dan menafikan membuat ugutan sedemikian terhadap pemimpin partinya sendiri.

“Saya ahli seumur hidup DAP, tak akanlah saya nak cakap saya nak bunuh pemimpin parti saya sendiri. Betul tak?

“Saya masuk DAP pun anak Lim Kit Siang (Lim Guan Eng) yang umum sendiri. Saya pun tak pernah buat apa-apa onar dalam DAP.

“Saya hanya suarakan pendapat sahaja. Tak akan menyuarakan sesuatu pendapat salah sekarang ini,” katanya.

Selain itu, Hata berkata beliau juga pelik dengan sikap pemimpin dan ahli partinya itu terhadap beliau.

“Dia orang langsung tak ada hubungi saya. Bukan dia orang tak kenal saya Hatta Wahari. Saya pun pelik.

“Dan laporan polis itu dibuat oleh ahli DAP sendiri. Dia orang ini tak kenal ahli parti sendiri ke? Saya pun pelik,” katanya.

Tambah Hata, beliau yakin hubungannya dengan DAP tidak ada masalah dan mendakwa dirinya tidak pernah mengganggu perjalanan parti itu.

Hata juga turut menyatakan rasa kesalnya berhubung kebebasan bersuara di negara ini yang disifatkan semakin buruk di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Saya ingat masa pentadbiran BN dah cukup buruk rupanya di bawah PH ini lagi buruk.

“Saya pun tak faham macam mana nak cakap sekarang,” katanya.

Lihat Komen
ADS