Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid mohon maaf 'dari hujung rambut hingga hujung kaki' pada PAS
Diterbitkan:  Oct 26, 2019 2:10 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan permohonan maaf secara terbuka PAS atas kesilapan sejak 61 tahun Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan.

Sinar Harian hari ini memetik, Zahid menyifatkan bahawa kekalahan BN pada pilihan raya umum (PRU) lalu adalah takdir.

"Mungkin Allah mahu turunkan pengajaran disebabkan kifarah kesilapan yang berlaku sejak 61 tahun.

"Justeru saya mewakili seluruh kepimpinan Umno memohon maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki daripada seluruh kepimpinan PAS," katanya dalam ucapan pada Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) peringkat Terengganu di Stadium Negeri malam tadi.

Sementara itu, dalam laporan sama, Ahmad Zahid dipetik berkata beliau mencadangkan agar Muktamar Tahunan PAS tahun depan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Saya pernah berbisik kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, sekiranya Muktamar Pas tahun depan mahu berpindah ke PWTC, 'ahlan wasahlan'.

"Selama 61 tahun PAS terseksa jadi pembangkang, insya-Allah lepas menang dalam PRU15, kita sama-sama duduk dalam satu kabinet.

"Kita berusaha, bertawakal dengan izin-Nya, Putrajaya sudah mesti milik kita dalam PRU15," katanya.

PWTC merupakan tempat berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno setiap tahun, yang juga menempatkan ibu pejabat parti itu.

PWTC juga merupakan tempat berlangsungnya Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September lalu yang menyaksikan Umno dan PAS memeterai piagam kerjasama, yang dinamakan Piagam Muafakat Nasional.

Lihat Komen
ADS