Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sumber risikan Iraq: Orang kanan yang ditangkap kunci utama kesan Baghdadi

GLOBAL | Dalam pencarian panjang mereka terhadap Abu Bakr al-Baghdadi, pasukan risikan Iraq memecah kebuntuan pada Februari 2018 selepas seorang daripada pembantu utama ketua Daesh itu memberi maklumat kepada mereka tentang bagaimana dia sentiasa dapat mengelak daripada ditangkap, kata dua pegawai keselamatan Iraq.

Baghdadi ada kala mengadakan perbincangan strategi dengan komandernya dalam bas mini bergerak yang penuh dengan sayur-sayuran untuk mengelakkan dari dikesan, kata Ismael el-Ethawi kepada pegawai setelah dia ditahan pihak berkuasa Turki dan diserahkan kepada Iraq.

"Ethawi memberikan maklumat berharga yang membantu pasukan keselamatan pelbagai agensi Iraq untuk melengkapkan teka-teki pergerakan Baghdadi dan tempat persembunyiannya," kata salah seorang pegawai keselamatan Iraq.

"Ethawi memberi maklumat tentang lima lelaki, termasuk dirinya, yang bertemu Baghdadi di Syria dan sejumlah lokasi berbeza yang digunakan mereka," katanya kepada Reuters.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Ahad berkata Baghdadi mati "ketika sedang menangis" dalam satu serbuan oleh pasukan Amerika Syarikat di Idlib yang terletak di barat laut Syria.

Dalam ucapan yang disiarkan televisyen, Trump berkata ketua Daesh itu mati bersama-sama tiga anaknya ketika dia meletupkan jaket yang dipenuhi bahan letupan selepas terperangkap dalam terowong ketika serbuan.

Pemburuan terhadap Baghdadi dipenuhi kekecewaan buat agensi risikan Barat dan Arab, yang meneliti pelbagai klu berkenaan kedudukan lelaki yang melakukan keganasan di bahagian besar Syria dan Iraq, memerintahkan pegawainya menjalankan pembunuhan dan pemenggalan kepala.

Dia juga bertanggungjawab terhadap serangan kejam di lima benua atas nama agama dengan versi ultra-fanatiknya.

Peristiwa utama

Militan seperti Ethawi sangat kritikal buat ejen yang cuba mengesan Baghdadi.

Ethawi, yang memiliki ijazah doktor kehormat dalam Sains Islam, dianggap pegawai risikan Iraq sebagai seorang daripada lima pembantu utama Baghdadi. Dia menyertai al Qaeda pada 2006 dan ditangkap oleh Amerika Syarikat pada 2008 dan dihukum penjara empat tahun, menurut pegawai keselamatan Iraq.

Baghdadi kemudian memberi tugas utama kepada Ethawi seperti memberi arahan keagamaan dan pemilihan komander Daesh. Selepas kumpulan itu sebahagian besarnya musnah pada 2017, Ethawi lari ke Syria bersama isterinya, yang merupakan warga negara itu.

Satu lagi peristiwa penting ialah pada awal tahun ini ketika operasi bersama, di mana ajen risikan Amerika Syarikat, Turki dan Iraq menahan pemimpin kanan Daesh, termasuk empat warga Iraq dan seorang warga Syria, kata pegawai keselamatan Iraq.

"Mereka memberikan kami semua lokasi pertemuan dengan Baghdadi dalam Syria, dan kami memutuskan untuk membuat koordinasi dengan CIA untuk meletakkan lebih banyak sumber dalam kawasan tersebut," kata pegawai keselamatan Iraq, yang memiliki hubungan rapat dengan sejumlah agensi keselamatan.

"Pada pertengahan 2019 kami berjaya mengean Idlib sebagai tempat di mana Baghdadi bergerak dari satu kampung ke kampung lain, bersama keluarganya dan tiga pembantu rapat," katanya.

Pemberi maklumat di Syria kemudian mengesan seorang lelaki Iraq berpakaian serban dengan corak kotak di kawasan pasar Idlib dan mengenal pasti identitinya melalui satu gambar, kata pegawai.

Abu Bakr al-Baghdadi

Lelaki itu adalah Ethani, dan mereka mengekori mereka ke sebuah rumah yang didiami Baghdadi.

"Kami berikan perinciannya kepada CIA dan mereka menggunakan satelit dan drone untuk memantau lokasi itu selama lima bulan," kata pegawai itu.

Dua hari lalu, Baghdadi meninggalkan lokasi itu bersama keluarganya buat kali pertama, menggunakan bas mini untuk ke kampung berdekatan.

"Di situlah saat-saat akhir hidupnya," kata pegawai itu.

Musuh tempatan

Baghdadi juga diburu musuh-musuh tempatan di Syria.

Hayat Tahrir al-Sham, kumpulan yang dahulunya dikenali sebagai Nusra Front yang mendominasi Idlib, juga membuat pencarian sendiri terhadap Baghdadi selepas menerima maklumat dia ada di kawasan itu, menurut seorang komander kumpulan itu.

Nusra Front dan Daesh adalah seteru antaranya dalam pertempuran ketika perang Syria.

Nusra Front, diasaskan oleh Abu Mohamad al-Golani, merupakan sekutu al Qaeda di Syria sebelum berpisah daripada jaringan pengganas antarabangsa itu pada 2016.

-Reuters

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS