Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bergambar dengan komik BRI tak bermakna k'jaan iktiraf - Maszlee

Tindakan menteri kabinet bergambar dengan komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan (BRI) Meraih Manfaat Bersama” tidak bermakna kerajaan mengiktiraf penerbitan buku itu, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) yang meminta penjelasan tentang gambar tular memaparkan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching bergambar bersama komik berkenaan.

“Saya yakin ramai menteri dan juga MP (anggota parlimen) yang kadang-kadang diserbu untuk diberi buku-buku tertentu oleh pengarang, lantas diambil gambar dan ini tidak boleh dijadikan bukti pengiktirafan.

“Beliau (Teo) tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan bertulis yang mengiktiraf apa pun,” katanya semasa waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, Teo telah membuat penerangan bahawa beliau diberikan komik itu sebelum diambil gambar, dan perkara sama juga menurut Maszle, berlaku kepada perdana menteri.

“Tidak kira gambar siapa. Gambar timbalan perdana menteri, ketua setiausaha, mana-mana MP, yang penting menteri pendidikan tidak benarkannya (komik itu diedarkan ke sekolah).

“Keputusan di tangan saya,” katanya lagi.

Komik yang diterbitkan oleh kurator Muzium Kebudayaan Komik Asia, Hew Kuan Yau dengan kerjasama artis tempatan Chong Po Ling mencetuskan kontroversi apabila pengedarannya ke sekolah-sekolah jenis kebangsaan (SJK) didedahkan kepada umum.

Kementerian Pendidikan berkata ia tidak pernah meluluskan pengedaran komik itu, lalu mengarahkannya ditarik semula serta mengharamkan pengedaraannya di sekolah.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut mewartakan pengharaman komik itu atas alasan ia cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme serta menyebarkan fakta yang salah.

KDN juga merampas naskhah komik itu dari Muzium Kebudayaan Komik Asia di Pulau Pinang.

Laporan polis turut dibuat ke atas Hew, Chong dan dua lagi pihak yang sudah disoal siasat oleh Bukit Aman.

Bekas perdana menteri Najib Razak antara yang terawal membangkitkan isu pengedaran komik itu di laman Facebooknya, mendakwa ia merupakan propaganda bagi mempromosikan DAP dan komunis.

Hew merupakan bekas anggota DAP, namun dilihat masih mempunyai hubungan yang rapat dengan parti itu.

Ekoran kontroversi itu, beberapa pemimpin pembangkang seperti Anggota Parlimen Bera, Ismail Sabri dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa DAP diharamkan jika ia didapati menyebarkan ideologi yang bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

Lihat Komen
ADS