Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tengkujuh: Orang ramai perlu elak riadah kawasan risiko - Bomba

Orang ramai dinasihat agar tidak beriadah di kawasan berisiko terutamanya ketika musim tengkujuh ini bagi mengelakkan kejadian buruk.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Mohd Wildan Azhari berkata, kawasan berisiko seperti jeram perkelahan amat berbahaya kepada orang ramai kerana adakalanya boleh berlaku 'kepala air' dan menghanyutkan pengunjung yang beriadah di situ.

Selain itu, kawasan pantai pula boleh mendatangkan bahaya disebabkan ombak yang kuat hingga menyebabkan pengunjung yang tidak berhati-hati atau leka dihanyutkan arus.

"Kita mahu orang ramai lebih berhati-hati dan sekiranya boleh, hindari daripada beriadah di kawasan seumpama.

"Kepala air sangat berbahaya kerana membawa arus deras selain menyebabkan paras air boleh meningkat secara mendadak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Wildan berkata, Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA) bersama JBPM juga sudah mengenalpasti tiga kawasan rekreasi di negeri ini yang berisiko berlaku kes lemas.

Kawasan terlibat adalah di Sungai Kampung Sabak, Pantai Nipah dan Pantai Muara Tok Bali yang kini dalam proses memasang papan tanda keselamatan.

"Menjelang musim Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat, kita mahu masyarakat peka dengan keadaan sekitar dan sentiasa mendapat maklumat daripada pihak berkuasa.

"Mereka juga perlu mengambil langkah siap sedia untuk menghadapi banjir terutama di kawasan yang sering dinaiki air supaya menyimpan peralatan dan dokumen penting selain elak mengunjungi kawasan berbahaya seperti jeram dan air terjun," katanya.

Selain pendekatan nasihat, JBPM Kelantan juga sentiasa memantau kawasan perkelahan dan berisiko bagi menjamin keselamatan masyarakat.

Cuaca di Kelantan lazimnya cerah pada sebelah pagi namun pada sebelah petang berlakunya ribut petir dan hujan sesekali lebat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS