Pakatan Harapan (PH) menafikan dakwaan sebuah badan pemikir yang mengatakan bahawa penstrukturan semula syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah bertujuan untuk memperkukuhkan kekuatan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu.

Sebaliknya, PH mendakwa penstrukturan semula itu dibuat bagi mengecilkan saiz Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta mengasingkan seberapa banyak fungsi-fungsi ekonomi dan kewangan daripada pejabat perdana menteri.

Dalam satu kenyataan yang ditandatangani bersama setiausaha agung parti-parti komponen PH, gabungan itu juga turut menjangkakan akan timbul banyak "berita palsu" menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

"Maklumat serong yang dikemukakan sebuah badan pemikir kononnya penstrukturan semula GLC adalah bertujuan memperkukuh kekuatan perdana menteri dan Bersatu adalah jelas mengelirukan.

"Selepas PRU ke-14, proses penstrukturan semula oleh pihak kerajaan melibatkan perubahan agensi merentas kementerian.

"Ini termasuklah usaha PH memastikan perdana menteri tidak menjalankan tugas sebagai Menteri Kewangan; supaya semak-imbang dapat dijalankan bagi mengelak kleptokrasi rejim Najib Razak daripada berulang," kata kenyataan itu.

Pada 30 Okt lalu, Kajian badan pemikir, Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) mendapati pelantikan politik menyertai entiti berkaitan kerajaan terus diamalkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di sebalik janji-janji Pakatan Harapan (PH) untuk melakukan pembaharuan.

Felo Kanan Ideas, Prof Edmund Terence Gomez berkata ini ketara dalam pelantikan enam calon PH yang kalah pada pilihan raya umum lalu tetapi dilantik sebagai ahli lembaga pengarah empat badan berkanun di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Selain mereka, tambahan dua calon yang menang juga dilantik menyertai GLC. Daripada jumlah lapan yang dilantik sebagai pengarah, lima adalah dari Bersatu, dua dari Amanah dan satu dari PKR.

Beliau juga mencadangkan pelantikan itu adalah percubaan oleh Bersatu, melalui Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun, untuk menarik sokongan kepada PH di kawasan yang dianggap sebagai kubu kuat BN dan PAS.

Berita palsu sempena PRK

Sementara itu, dalam kenyataan sama hari ini, PH menjelaskan bahawa pemisahan pemusatan kuasa di JPM dapat dilihat melalui penstrukturan itu yang mana FELDA kini diletakan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Begitu juga, Unit Kerjasama Awam (UKAS) serta agensi-agensi pelaksanaan koridor (NCIA, IRDA, ECERDC, RECODA, PERDA dan SEDIA) yang sebelum ini diletakkan di bawah JPM, kini diletakkan di bawah Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

PH turut membidas dan mendakwa beberapa laporan media yang tidak tepat termasuk yang palsu yang disifatkan bertujuan mempengaruhi pandangan dan persepsi orang ramai, terutamanya menjelang PRK Tanjung Piai.

"Sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam telah melaporkan di muka hadapan kononnya projek RTS (Rapid Transit System) akan ditangguhkan selama enam bulan. Berita ini adalah palsu.

"Sebuah akhbar berbahasa Cina pula melaporkan tentang kajian selidik yang mendakwa bahawa perdana menteri adalah menteri kewangan ‘de facto’ dan kononnya pemimpin Bersatu memegang jawatan dalam kebanyakan GLC, di mana terletaknya kuasa kewangan kerajaan.

"Niatnya adalah untuk memperlihatkan kepada pengundi bukan-Melayu bahawa Menteri Kewangan sebenarnya tidak mempunyai kuasa dan hanyalah boneka; manakala kerajaan Pakatan Harapan dikuasai oleh Mahathir dan rakan-rakan beliau," kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, bagi khalayak Melayu pula, Mahathir digambarkan sebagai boneka DAP dan Lim Guan Eng bagi menguncupkan sokongan terhadap PH di kedua-dua pihak Melayu dan bukan-Melayu.

Semalam, kerajaan mengumumkan bahawa projek RTS akan diteruskan dengan penjimatan sebanyak 36 peratus berbanding kos yang diperoleh pentadbiran BN sebelum ini.