Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Media perlu didik masyarakat bahaya rasuah - KP SPRM
Diterbitkan:  Nov 1, 2019 10:54 PM
Dikemaskini: 2:54 PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyarankan pengamal media untuk melaporkan sesuatu isu rasuah dengan penuh tanggungjawab bagi mendidik masyarakat, serta mendedahkan kepada mereka tentang bahayanya rasuah kepada negara.

Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya berkata media harus melaporkan secara bertanggungjawab setiap isu rasuah, menjelaskan kepada masyarakat maklumat sebenar, sehingga masyarakat benci dan jijik dengan rasuah.

"Pengamal media tidak boleh mudah terpengaruh dengan pihak-pihak berkepentingan dalam sesuatu isu sahaja.

"Pengamal media mesti mampu mengenali puak-puak yang mempergunakan media, demi kepentingan mereka semata-mata, dan bukan demi pembangunan bangsa dan negara.

"Misalnya, mereka yang menggunakan isu rasuah untuk mendapat kedudukan dan menggunakan isu rasuah sebagai senjata menjatuhkan pihak lain semata-mata demi kepentingan mereka," katanya dalam majlis Malam Apresiasi Media 2019, di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Azman Ujang, ketua pengarang serta pengamal media.

Latheefa berkata walaupun wujud kepelbagaian agenda yang dibawa setiap organisasi media, namun dalam isu rasuah, pengamal media haruslah bersatu dan senada.

"Jenayah rasuah tidak harus diberi ruang sama sekali untuk meracuni dan meruntuhkan pembangunan negara kita," katanya.

Beliau berkata media merupakan antara komponen pembangunan masyarakat yang amat penting bagi sesebuah negara membangun seperti Malaysia.

"Media memainkan peranan besar membawa wadah kesedaran sosial terhadap perkara-perkara yang berkisarkan kepada isu kepentingan, kebajikan serta keadilan masyarakat, secara keseluruhannya.

"Sebab itulah, tugas wartawan bukan sekadar melaporkan berita semata-mata, laporan itu mestilah mempunyai ‘jiwa’ yang berperanan membawa kesedaran dan mendidik masyarakat, terhadap sesuatu isu dan masalah sosial termasuklah isu rasuah," katanya.

Selain itu, Latheefa berkata media perlu membantu SPRM dalam menjayakan siasatan mereka dengan tidak melaporkan sesuatu kes, semasa masih dalam siasatan, sehingga mampu menjejaskan proses tersebut.

Beliau berkata komitmen yang ditunjukkan pengamal media secara tidak langsung menjadi pembakar semangat kepada warga SPRM, untuk terus melaksanakan tugas dan memikul amanah dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa secara habis-habisan.

"Secara peribadi, saya cukup kagum dengan hubungan akrab dan jalinan kerjasama ini, adalah menjadi harapan saya, agar hubungan baik sesama kita ini dapat kekal berpanjangan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS