Perdana Menteri mahu Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat penjana tenaga bebas (IPP) mewujudkan kerjasama 'menang-menang' dengan mengambilkira kepentingan pengguna.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan beliau tidak mahu melihat ada pihak yang mendapat keuntungan berlebihan, sementara yang satu lagi

kerugian.

Perdana Menteri berkata ini kerana kedua-dua pihak bekerjasama dalam satu industri yang sama dan sepatutnya bersama-sama menikmati keuntungan daripada kerjasama tersebut.

"Kita tidak mahu mana-mana bahagian ataupun kumpulan ataupun institusi mendapat keuntungan, yang satu lagi kerugian pula sedangkan mereka dalam satu rangkaian kerjasama dan oleh yang demikian sudah semestinya sama-sama mendapat manfaat daripada pembangunan industri tenaga di negara kita ini," katanya kepada pemberita di Kuching.

Menurut laporan Bernama, beliau yang sebelum itu merasmikan bangunan Terminal Baru Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching mengulas mengenai isu kerjasama TNB dan IPP yang dikatakan antara faktor menyumbang kepada masalah kewangan syarikat utiliti nasional itu.

Abdullah yang mengakui TNB menghadapi banyak masalah dalam kerjasama itu berkata buat masa ini proses perbincangan sudah bermula antara Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik dan IPP.

"Saya percaya nanti akan ada tindakan-tindakan yang sesuai, yang munasabah dan yang akan dapat menepati matlamat dan tujuan. Biarlah semua pihak yang terlibat dalam industri pembekalan tenaga ini sama-sama menikmati keuntungan," kata beliau.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga mengambil kira pandangan rakyat yang mendesak supaya IPP turut memainkan peranannya dalam menangani masalah yang dihadapi oleh TNB itu.

IPP yang menyumbang 40 peratus kepada bekalan tenaga negara kini sedang membincangkan masa depan mereka dengan kerajaan memandangkan konsesi 21 tahun akan berakhir pada 2015.

Antara perbincangan itu termasuk mengenai harga unit elektrik yang dijual oleh IPP kepada TNB.