PM gesa komponen BN Sarawak henti bercakaran

   

Komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak diminta mengenepikan kepentingan kumpulan atau individu, sebaliknya perlu bersatu untuk menjamin kemenangan BN dalam pilihanraya negeri tidak lama lagi.

Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata BN Sarawak perlu kekal bersatu dan teguh untuk meyakinkan rakyat supaya mengembalikan mandat kepada BN.

"Jangan fikirkan tentang kumpulan atau individu, kerana akhirnya kemenangan perlu diperolehi oleh BN, kita hanya alat bagi mencapai kemenangan," katanya pada majlis makan malam BN Negeri di kediaman Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Demak Laut dekat Kuching malam tadi.

Seruan Abdullah dibuat ditengah-tengah spekulasi pembubaran Dewan Undnagan Negeri Sarawak hebat diperkatakan dan ketika lobi melobi dan percakaran antara parti-parti komponen BN bagi menonjolkan calon masing-masing giat dilakukan.

Beliau berkata rakyat akan terus menyokong kerajaan BN sekiranya ia dapat menunjukkan komitmen kukuh dalam menampilkan program-program pembangunan seperti Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9), sebagai jawapan kepada manifesto pilihan raya gabungan parti-parti komponen BN itu.

Menurut laporan Bernama, parti-parti komponen BN Negeri mengandungi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dijangka bertanding di 35 kawasan pilihan raya, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (Supp-19), Parti Rakyat Sarawak (PRS-9) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP-8).

Berhubung senarai 71 calon BN pada pilihan raya itu, Perdana Menteri pemilihan teliti akan dilakukan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat terpilih.

"Adalah lebih mudah untuk merancang bagi RMK-9 kerana saya lebih bebas dalam menentukan apa yang seharusnya ada di dalamnya, berbanding mengatur senarai calon-calon bagi pilihan raya atau rombakan kabinet, kerana terlalu banyak yang perlu ditimbangkan," kata Abdullah secara berseloroh.

Perdana Menteri berkata tarikh pilihan raya negeri, yang tempohnya antara sekarang dan 18 November, masih menjadi teka-teki, dan adalah lebih baik bagi orang ramai "hanya nantikan harinya yang akan tiba".

Calon wanita

Terdahulu Abdul Taib, yang merupakan pengerusi BN Sarawak berkata lebih ramai calon wanita akan dicalonkan kali ini berbanding hanya tiga orang pada masa ini.

"Kita memperakui bahawa perana wanita semakin penting dan kita berharap untuk mempunyai lebih ramai wanita dalam Dewan Undangan Negeri bagi membantu dalam menangani masalah sosial pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata senarai calon yang akan dihantar kepada Perdana Menteri tidak lama lagi juga akan menyaksikan lebih ramai muka baru.

"Kita cuba kurangkan purata umur dalam BN supaya lebih ramai orang-orang muda dan bertenaga serta petugas-petugas parti yang lebih cergas boleh tampil untuk melaksanakan RMK-9 dengan jayanya," kata Abdul Taib.

Beliau berkata usaha melobi oleh calon-calon berpotensi sudah ditingkatkan, namun hanya mereka yang paling sesuai dan yang diterima oleh rakyat akan dicalonkan dan dibawa kepada kepimpinan BN.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In