Malaysiakini
BERITA

Malaysia mahu terus bersuara isu dunia

M Fakhrul Halim

Diterbitkan

Malaysia tidak akan berdiam diri dan akan untuk terus bersuara dalam isu-isu dunia meskipun sedar ada banyak perkara yang tidak dapat diselesaikan dengan hanya sekadar bersuara, kata Timbalan Menteri Luar Negeri, Marzuki Yahya.

Hal itu disuarakannya semasa menjawab soalan tambahan oleh Dr Ronald Kiandee (PH - Beluran) yang bertanya sejauh mana tindakan proaktif negara melalui Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu dapat menangani isu-isu dunia, termasuk ketidaktentuan politik yang diamalkan Amerika Syarikat.

“Kita melihat dari semua sudut. Usaha-usaha kita ini bukan usaha mudah seperti YB katakan, bahawa kita ingin lihat keberkesanannya.

“Walaubagaimanapun, dalam usaha kita untuk tangani masalah ini, kita akan terus menyuarakan (isu-isu dunia).

“Kerana bagi kita, lebih baik kita suarakan daripada kita berdiam diri walaupun kita tahu perkara-perkara sebegini bukan urusan mudah untuk diselesaikan dengan hanya bersuara,” katanya di Dewan Rakyat.

Dalam soalan tambahannya itu, Kiandee memberi contoh bagaimana Malaysia sendiri terpaksa akur pada sekatan dagangan yang dikenakan Amerika Syarikat kepada Iran, sehingga menjejaskan pemilik akaun bank warga Iran di negara ini.

Malah, menurut Kiandee, Malaysia turut menerima akibat daripada kenyataan berhubung konflik antara kerajaan India dengan Jammu dan Kashmir, yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-74 di New York, September lalu.

Kenyataan Dr Mahathir berhubung Jammu dan Kashmir menyebabkan berlaku gerakan boikot terhadap produk sawit Malaysia oleh pihak tertentu di India - iaitu negara pengimport terbesar minyak sayuran dunia yang bergantung kepada bekalan dari Malaysia dan Indonesia.

Terdahulu, dalam jawapan lisannya, Marzuki menegaskan bahawa Malaysia tidak teragak-agak untuk terus bertindak proaktif dan berkesan dalam organisasi antarabangsa termasuk PBB.

Hal itu akan cuba dicapai dengan Malaysia mengambil peranan dalam menentukan hala tuju perbincangan di forum antarabagangsa yang dianggotainya, selain cuba mempengaruhi proses membuat keputusan di forum antarabangsa yang tidak dianggotainya.

Bagaimanapun, ketika menjawab soalan tambahan oleh Awang Hashim (PAS- Pendang) tentang konsep yang mahu diterjemahkan kerajaan di peringkat antarabangsa, Marzuki menjelaskan negara masih mengamalkan dasar berkecuali dan berbaik-baik dengan semua negara.

Awang dalam soalannya turut memuji keberanian Mahathir bersuara yang menegur kuasa-kuasa besar dunia dan mencadangkan agar kuasa veto dalam PBB diperbetul kerana bersifat tidak demokratik dalam UNGA.

Hal itu juga, kata Marzuki, akan terus dibangkitkan negara dalam platform-platform antarabangsa.

“Perdana Menteri dah sarankan bahawa kita mahu kuasa veto diganti dengan mekanisme lebih adil, mewakili semua ahli PBB.

“Kita akan terus suarakan dalam mana-mana platform, untuk memastikan keadilan sejagat dapat dilaksanakan,” katanya lagi.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.