Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid: MP Umno jumpa Azmin bincang projek kawasan

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pertemuan antara anggota parlimen Umno dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali semalam adalah bagi membincangkan penyaluran projek-projek kerajaan ke kawasan mereka.

Bagaimanapun, Zahid mengakui menerima aduan pihak parti yang merasakan perjumpaan itu membelakangkan nasihat yang dibuat Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob, yang menyebabkan ramai pihak menspekulasikan tujuannya.

"Saya menerima maklumat ... mesyuarat itu diadakan untuk tim pengundi mereka dalam mendapatkan projek-projek kerajaan untuk disalurkan melalui peruntukan sebagai ahli parlimen.

"Bagaimanapun, ia mewujudkan persepsi ... Ketua pembangkang sebelum ini mengingatkan bahawa setiap perjumpaan mesti dibuat secara en bloc (bersama).

"Dan tempat mesyuarat mesti di parlimen, ini akan kelihatan lebih baik dan lebih sesuai," katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur petang ini.

Zahid mengadakan sidang akhbar hari ini untuk menjelaskan perjumpaan yang berlangsung di kediaman rasmi Azmin, yang juga merupakan menteri hal ehwal ekonomi, di Putrajaya malam tadi.

Perjumpaan dua jam itu dilaporkan dihadiri oleh sekurang-kurangnya 22 ahli parlimen BN dan lima ahli parlimen PKR termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (Ahli Parlimen Ampang) dan Timbalan Menteri Pengangkutan Kamaruddin Jaffar (Ahli Parlimen Bandar Tun Razak).

Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, menambah bahawa parti itu mengambil perhatian terhadap masalah yang dibangkitkan oleh anggota Umno berhubung perjumpaan itu.

Zahid juga memaklumkan bahawa kepimpinan parti bersetuju agar jawatankuasa disiplin parti melakukan siasatan di bawah peraturan sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya menjangkakan akan menerima aduan berhubung perjumpaan itu.

Apandi berkata perkara itu akan disiasat mengikut prosedur sedia ada.

Dalam sidang media itu, Zahid juga menekankan agar semua anggota Umno, termasuk ahli parlimen, mematuhi keputusan yang diambil oleh kepimpinan parti.

"... dan apa-apa tindakan yang diambil oleh sesiapa pun (dari parti), mereka tidak boleh berkompromi dengan mana-mana blok dalam kerajaan atau mana-mana pemimpin yang mewakili kerajaan.

"Baik dalam kapasiti peribadi, atau melalui pintu yang tidak disahkan, kerana keputusan parti adalah keputusan rasmi," katanya.

"Dan kami berharap tidak ada percubaan untuk bertindak dengan cara yang tidak mengikut Majlis Tertinggi dan keputusan rasmi parti," tambah Zahid.

Ditanya mengenai ahli parlimen BN yang dikatakan mempertimbangkan sokongan sama ada terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad atau Presiden PKR Anwar Ibrahim, Zahid berkata: "Apabila kita membuat keputusan, ia mesti dilakukan secara bersama atau en bloc ".

Ditanya mengenai khabar angin yang mengatakan ahli parlimen Umno berjumpa dengan Azmin malam tadi bagi merancang untuk membentuk parti baru, Zahid berkata beliau tidak mendengar apa-apa seumpamanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS