Seorang pegawai Kedutaan Myanmar rentung dalam satu kebakaran yang memusnahkan bangunan dua tingkat kedutaan itu di Lorong Ru Kedua, Ampang Hilir di ibu negara hari ini.

Sumber forensik berkata siasatan awal mendapati kebakaran itu berpunca daripada lelaki berkenaan yang membakar dirinya di tingkat bawah kedutaan tersebut sebelum naik ke tingkat atas premis itu.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Hasnan Hassan berkata kebakaran itu berpunca dari dalam kedutaan itu sendiri.

Bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan dari pelbagai sudut tentang punca kebakaran itu termasuk kemungkinan perbuatan khianat.

"Kita akan mengambil keterangan dari kakitangan kedutaan itu esok bagi membantu siasatan," katanya.

Pada tahun lalu, tiga lelaki rakyat Myanmar pernah membakar pejabat kedutaan itu dan menetak kepala penasihat kedutaan dengan kapak.

Menurut laporan Bernama, dalam kejadian pada jam 2.20 petang itu, mangsa yang masih belum dikenalpasti, dikatakan terperangkap dalam sebuah bilik di tingkat atas bangunan kedutaan itu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Wilayah Persekutuan, Mohd Ali Ismail, berkata kejadian itu berlaku pada jam 2.20 petang dan pihak bomba menerima panggilan dari kakitangan kedutaan itu empat minit kemudian.

Beliau berkata, api bermula di tingkat bawah sebelum merebak dan memusnahkan keseluruhan tingkat atas bangunan itu yang dipenuhi pelbagai dokumen yang mudah terbakar.

Katanya kakitangan kedutaan yang lain berjaya keluar dari bangunan itu tanpa sebarang kecederaan.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.