Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kayveas dakwa langkah ROS letak syarat isu pendaftaran sebagai melampau

M Kayveas mendakwa tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang menetapkan sejumlah syarat untuk menarik balik pembatalan MyPPP sebagai melampau.

Beliau yang menggelarkan diri sebagai presiden sah MyPPP berkata demikian di perhimpunan agung tahunan parti itu yang ke-66.

"Apabila perlembagaan parti tak diikuti, saya menerima panggilan daripada pendaftar pada 18 Mei 2018 dan memeriksa status parti dan saya sendiri...Pendaftar kemudian mengeluarkan surat rasmi menyatakan saya perlu terus mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) sebelum 3 Jun 2018 dan pemilihan.

"Malangnya ROS secara tidak sah telah membatalkan pendaftaran parti pada 14 Januari 2019, iaitu kira-kira lapan bulan kemudian," katanya kepada hampir 400 perwakilan parti itu di ibu pejabat MyPPP di Kuala Lumpur hari ini.

Susulan itu, kata Kayveas, beliau telah bertemu dengan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin untuk membuat pertimbangan semula berdasarkan Seksyen 18 akta Pertubuhan 1966.

Beliau menyifatkan kelulusan bersyarat yang diberikan ROS pada 7 Oktober lalu sebagai melampau.

Seksyen 18 akta tersebut menyebut pertubuhan atau pemegang jawatan yang musykil dengan keputusan pendaftar antaranya dalam soal pembatalan pendaftaran boleh membuat rayuan kepada menteri dalam masa 30 hari, dan menteri boleh mengubah, menolak atau mengesahkan keputusan tersebut.

Antara syarat yang diletakkan ialah parti tersebut perlu bermesyuarat untuk menubuhkan satu badan bebas bagi mengawal dan mengadakan pemilihan parti sebelum 31 Disember.

ROS turut menyatakan bahawa jawatankuasa parti bagi penggal 2014-2019 bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu pertikaian parti.

"ROS tiada kuasa untuk campur tangan dan letak syarat apa kita perlu buat. Mereka hanya boleh sahkan permohonan dan pembatalan sesebuah pertubuhan," katanya sambil berkata pihaknya akan membawa perkara itu ke mahkamah jika ia berterusan.

Pada 27 Januari lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata menyerahkan isu rayuan pembatalan MyPPP kepada ROS.

"Ini keputusan RoS, saya serah kepada RoS...saya tidak terlibat supaya kalau pun ada rayuan, ada berasas, atau nak dipertimbangkan semula, itu keputusan RoS yang buat, bukan saya yang buat," katanya seperti dipetik Bernama.

MyPPP menghadapi krisis selepas Kayveas mengumumkan bahawa parti tersebut keluar daripada gabungan BN, selepas dinafikan bertanding pada PRU ke-14.

Susulan itu, beliau dipecat oleh majoriti ahli CWC. Namun, Kayveas mempertikaikan keputusan tersebut dan kedua-dua pihak meminta ROS mencelah.

Sementara itu, AGM hari ini membuat dua pindaan dalam perlembagaan parti - antaranya parti itu kembali menggunakan nama Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP).

Terdahulu, Roger Ly Kim Cheong yang dilantik sebagai setiuasaha agung parti memberitahu bahawa AGM hari ini memenuhi korum dengan kehadiran 1235 perwakilan daripada seluruh negara.

Lihat Komen
ADS