Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua perunding baru Thailand harap rundingan damai disambung tahun depan

GLOBAL | Ketua perunding baru proses damai selatan Thailand, Jeneral Wanlop Rugsanaoh berharap proses rundingan akan disambung semula tahun depan bagi mencari penyelesaian berkekalan serta mengakhiri konflik selama beberapa dekad di beberapa wilayah di selatan negara itu.

Beliau yang dilantik berkuat kuasa 1 Okt lalu, menggesa semua kumpulan walaupun mempunyai pandangan berbeza termasuk sayap bersenjata, Barisan Revolusi Nasional (BRN) supaya menyertai meja rundingan tersebut.

“Kami sedang menyelaras dengan fasilitator dari Malaysia. Kami mahu semula kumpulan dengan pandangan berbeza supaya bercakap dengan kami.

“ Kami mahu rundingan damai ini berlangsung secepat mungkin. (Berapa lama?) Ada kemungkinan menjelang tahun baru,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Malaysia memilih bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Mohd Noor sebagai fasilitator dalam rundingan damai di selatan Thailand antara kerajaan Thailand dan Mara Patani, badan yang mewakili beberapa kumpulan militan di selatan Thailand.

Atas permintaan Thailand, Jen Wanlop berkata Malaysia telah menghubungi beberapa kumpulan tersebut untuk perbincangan.

“ Malaysia sedang membantu kami. Bagaimanapun, kami belum tahu siapa mereka ini (kumpulan). Kami masih menunggu pengesahan,” kata bekas Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Thailand itu.

Beliau berkata perbincangan secara tidak formal sedang berlangsung dalam dan luar negara tetapi enggan mendedahkan bila dan di mana perjumpaan tersebut diadakan.

Sebagai perunding utama yang baru, katanya, matlamat utamanya adalah untuk memulihkan keamanan di selatan Thailand supaya semua masyarakat boleh hidup bersama secara damai.

Ditanya bila BRN akan menyertai rundingan damai tersebut, beliau berkata: “Kami mahu mereka mengambil bahagian dalam perbincangan ini.”

Proses perdamaian di wilayah selatan negara itu setakat ini adalah antara kerajaan Thailand dan Mara Patani, sebuah badan utama mewakili pelbagai kumpulan di wilayah selatan itu. Bagaimanapun, BRN tidak menyertai rundingan itu tetapi masih diwakili dalam Mara Patani oleh sayap politiknya.

Dalam pada itu, Jen.Wanlop berkata kerajaan Thailand komited dan ikhlas dalam mencari penyelesaian secara damai dalam menamatkan konflik tersebut.

“Kami bersedia mempertimbangkan maklum balas yang sesuai kepada cadangan semua kumpulan yang mempunyai pandangan berbeza dalam mewujudkan keamanan yang berkekalan.

“Panel Dialog Keamanan akan meneruskan misi dan mewujudkan perubahan positif menjelang 2020,” katanya.

Katanya, beliau akan meneruskan usaha bekas ketua perunding Thailand (Jeneral Udomchai Thammasarorath) untuk membina kepercayaan antara kerajaan dan semua kumpulan terbabit kerana ia akan mewujudkan asas bagi proses damai berdasarkan prinsip maruah, keikhlasan dan kesukarelaan.

Keganasan empat wilayah di selatan – Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla mengorbankan lebih 7,000 nyawa. Sejak beberapa tahun yang lalu, Mara Patani mengadakan rundingan dengan kerajaan Thailand untuk mencari penyelesaian kepada konflik yang telah berlanjutan sejak 2004.

Pada 5 Nov lalu, sekurang-kurang 15 terbunuh dalam insiden berbalas tembakan dengan sekumpulan individu bersenjata yang telah menyerang pos kawalan keselamatan di wilayah Yala. Ia merupakan antara salah satu serangan paling dahsyat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS