Terjemahan Datuk Rafiah Salim mencatat sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Naib-Canselor sebuah universiti negara ini. Perlantikannya dialu-alukan dengan kalungan bunga dan ucapan tahniah, namun beliau dijangka melalui jalan berliku sepanjang tempoh dua tahun kontraknya di Universiti Malaya (UM) itu.

Menurut sumber-sumber dalaman UM, perlantikan Rafiah tidak disenangi oleh beberapa kumpulan kakitangan akademik dan pengurusan di universiti tertua negara itu kerana beliau dianggap sebagai "orang luar".

Tentangan terhadap Naib Canselor baru ini dijangka datang dari dua kumpulan yang satu ketika dulu bersaing tetapi kini telah berbaik-baik.

Mereka terdiri daripada kumpulan yang diketuai oleh bekas Naib Canselor, Datuk Prof. Dr. Hashim Yaakob dan satu lagi yang dikepalai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal ehwal pelajar dan alumni), Prof. Dr Razali Agus.

Hashim, yang kini kembali menjadi professor di Fakulti Pergigian UM, dikatakan telah menyifatkan perlantikan "orang luar" sebagai Naib Canselor adalah suatu yang memalukan universiti tersebut.

Menurut sumber, Hashim membuat kenyataan itu pada satu majlis jamuan makan malam di Hotel Marriot, Putrajaya pada 1 April. Sumber yang enggan didedahkan identitinya itu turut hadir dalam majlis tersebut.

Bekas Naihb Canselor itu juga mendakwa bahawa kerajaan bertindak tidak adil apabila menamatkan kontrak perkhidmatannya.

Menurut sumber itu lagi, Hashim berkata, dia tidak diberikan masa yang mencukupi untuk mempertahankan dirinya kerana keputusan menamatkan kontraknya hanya diketahui tiga hari sebelum pengumuman rasmi dibuat.

Hashim juga dikatakan berkata bahawa Ketua Pembangkang di Parlimen, Lim Kit Siang akan menyokongnya jika isu itu dibawa ke media.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Hashim juga mendakwa pencapaian UM telah meningkat sepanjang tiga tahun perkihdmatannya

Berikutan penamatan kontrak Hashim, Razali yang merupakan Timbalan Naib Canselor paling kanan dilantik memangku jawatan Naib Canselor selama sebulan dari 1 April hingga 30 April lalu.

Menurut sumber itu lagi, setelah mengetahui hasrat kerajaan untuk melantik "orang luar" sebagai Naib Canselor baru UM, kumpulan Hashim dan Razali telah bersatu dan melobi supaya Razali dilantik mengisi kekosongan jawatan Naib Canselor berkenaan. Bagaimanapun lobi mereka tidak berhasil.

Satu sumber lain pula memberitahu malaysiakini, antara sebab mengapa Razali ditolak dari mengisi kerusi panas itu ialah tindakan "menindas" kumpulan pelajar yang tidak sehaluan dengannya dalam pilihanraya kampus lalu.

Walaupun sebahagian besar calon-calon yang disukai oleh Razali menang namun pilihanraya itu dikatakan dicemari oleh pelbagai pelanggaran peraturan.

Menurut sumber berkenaan, faktor ini menjadi penghalang utama kepada peluang Razali untuk menjadi Naib Canselkor UM yang baru.

"Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamad yang mahu memprojek imej baru di kalangan institusi pengajian tinggi tempatan tidak bersetuju dengan sikap Razali yang menekan para pelajar," jelas sumber itu.

Perlantikan sementara

Satu lagi punca yang mengelapkan peluang Razali ialah kemerosotan kedudukan UM dalam senarai Times Higher World University Rankings pada tahun lalu. Daripada menduduki tangga ke 89 pada 2004, UM jatuh merudum ke tempat 169.

Sumber tersebut juga menyatakan, kemungkinan besar perlantikan Rafiah selama dua tahun berbanding dengan tiga tahun kebiasaannya adalah usaha untuk menjaga air muka pentadbiran lama UM.

Langkah itu juga diharapkan dapat memulihkan imej universiti terkemuka itu sebagaimana yang dikehendaki oleh Mustafa

Perlantikan Rafiah selama dua tahun sahaja telah juga menimbulkan "cakap-cakap" bahawa beliau hanya "Naib Canselor sementara"

Bagaimanapun kata sumber itu, keadaan mugkin berubah kelak jika Rafiah membuktikan kemampuan dan ketokohannya mengembalikan kegemilangan UM dan memenangi hati orang-orang bawahannya.

Berdasarkan kemungkinan ini, sumber itu percaya mungkin akan ada cubaan untuk mensabotaj atau memperlekehkan kepimpinan Rafiah dan akhirnya mewujudkan perebutan kuasa di UM.

Beberapa percubaan untuk menghubungi Hashim dan Razali bagi mendapatkan komen mereka gagal. Berita asal