Acara bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai yang diadakan di Kajang baru-baru ini adalah acara untuk meraikan keamanan, kata anggota jawatankuasa pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu.

“(Ia) bukan untuk 'menabur garam pada luka' bagi mereka yang kehilangan ahli keluarga.

“Setiap satu perkara perlu ada penamatnya, daripada mempolitikkan hatta abu Chin Peng. Saya gesa setiap pihak untuk bergerak ke depan, dan mengutuk sesiapa yang cuba untuk melebih-lebih dalam perkara-perkara kecil,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

“Meskipun benar ribuan nyawa terkorban dalam pertempuran 30 tahun dengan komunis, termasuk nyawa rakyat yang tidak bersalah, acara itu adalah bagi meraikan perjanjian damai yang ditandatangani,” tambahnya.

Kata Liu, acara seumpama itu merupakan satu cara pemulihan, juga merupakan satu buat golongan muda belajar tentang sejarah.

Liu merupakan salah seorang yang berucap dalam acara di Kajang. Dia hadir atas kapasiti peribadi.

Dalam acara itu, Liu berkongsi bagaimana datuknya terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Jelas Adun Sungai Pelek itu lagi, datuknya merupakan anggota Malayan Peoples' Anti-Japanese Army (MPAJA), sebelum kemudiannya terlibat bertempur dengan British, namun tidak pernah menjadi seorang komunis.

Penyertaan Liu dalam acara itu menjadi modal buat Umno dan PAS untuk menyerang DAP dan mendakwa parti itu menyokong komunis.

Liu bagaimanapun menyanggah dakwaan itu.

“Sebagai ahli DAP, saya mengamalkan demokrasi sosial, bukan komunisme. Jika Umno atau PAS tak faham maksud kedua-dua istilah ini, mereka patut pergi sekolah lagi sekali,” katanya.

Polis kini sedang menyiasat penganjuran acara itu, dan menurut Liu, dia dipanggil untuk soal siasat pada Isnin.

Katanya, biarpun tidak nampak alasan mengapa beliau perlu dipanggil, dia tetap akan memberikan kerjasama.