Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bekas pengerusi Felcra, Bung Mokhtar Radin berkata bahawa beliau sedia dipanggil SPRM ekoran projek loji biogas Felcra Bhd yang didakwa terbiar.

Jelasnya, badan antirasuah itu boleh meneruskan siasatan dan memanggilnya bila-bila masa sahaja.

“Saya bersedia untuk dipanggil.

“Dia (SPRM) boleh teruskan (siasatan) dan panggil saya, kalau panggil saya akan jawab,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Mohd Nazrul Izam Mansor, yang dilantik selepas PH membentuk kerajaan, mendedahkan bahawa pengurusan baru syarikat itu melaporkan projek biogas kepada SPRM pada tahun lepas.

Laporan itu dibuat selepas audit pengurusan selesai.

Nazrul juga menjelaskan seramai 13 individu telah diambil keterangan oleh SPRM dan sejumlah dokumen telah dirampas.

Untuk rekod, Felcra Bhd telah memeterai perjanjian dengan Megagreen Energy Sdn Bhd pada Disember 2014.

Menurut perjanjian itu, Megagreen akan memajak tanah milik Felcra untuk "membangun, membiayai, membina, memiliki, mengendali dan menguruskan secara terus" lima loji biogas.

Bung Moktar juga menjadi salah seorang pengarah Megagreen ketika perjanjian itu dimeterai.

Bagaimanapun, beliau telah meletakkan jawatan daripada Megagreen selepas BN kalah PRU14 pada 9 Mei tahun lalu.

Menurut perjanjian, loji enam megawatt akan dibina di lokasi kilang minyak sawit Felcra di Bukit Kepong (Johor), Sungai Melikai (Johor), Nasaruddin (Perak), Seberang Perak (Perak) dan Maran (Pahang) milik Felcra.

Selepas lima tahun perjanjian dimeterai, sejumlah peserta Felcra membangkitkan persoalan berhubung projek biogas itu walaupun rekod syarikat menunjukkan Megagreen telah menerima RM35.25 juta pinjaman daripada RHB Islamic Bank Bhd pada Jun 2015.


Baca: Peserta tuntut jawapan projek loji biogas RM35 juta Felcra terbiar


Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata siasatan berkenaan perkara itu dijangka selesai tahun depan.

Sementara itu, Bung Mokhtar memberitahu bahawa beliau belum menerima apa-apa surat dari SPRM bagi siasatan lanjut.

Bagaimanapun, beliau percaya tiada unsur negatif dalam isu loji biogas itu kerana projek mengikut prosedur yang betul dan ia juga merupakan bisnes dari pelabur luar.

“Saya tidak tahu lagi berkenaan perkara itu dan tidak dimaklumkan lagi.

“Dulu saya tahu perkara ini, tetapi ia tidak ada unsur negatif, semua ikut prosedur yang betul dan ini juga pelabur luar punya bisnes,” katanya yang juga merupakan anggota parlimen Kinabatangan.

Lihat Komen
ADS