Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Umno 'bersimpati' dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung kemasukan abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng ke negara ini pada September lalu, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu penghinaan, Presiden Umno itu berkata kerajaan BN ketika dipimpin Najib Razak secara konsisten menolak kemasukan abu mayat mendiang.

"Saya bersimpati dengan kerajaan sekarang, mereka diaibkan dengan abu mayat Chin Peng. Walaupun ketika kita memerintah jemaah menteri ketika itu bawah Najib telah menolak abu mayat itu dibawa ke negara kita.

“Ia (kemasukan abu ini) juga menghina rakyat dan menjurus ke arah pengiktirafan semula PKM. 

"Ia juga mencerminkan betapa tidak ada kuasanya kerajaan sekarang kerana ditekan oleh pihak tertentu dalam PH," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Agung Umno kali ke-73 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid juga mendakwa Chin Peng seolah-olah mahu didewakan oleh penyokongnya dan sejarah hendak ditukar dengan mengangkat mendiang sebagai pejuang kemerdekaan.

"Sesungguhnya tindakan kerajaan sebegini amat menghiris hati rakyat dan Umno menolak," katanya.

Untuk rekod, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin sebelum ini menafikan kerajaan membenarkan abu mayat pemimpin PKM itu dibawa pulang.


Baca: Kerajaan tak pernah benar abu Chin Peng dibawa pulang


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pula berkata isu itu sengaja ditimbulkan untuk memburuk-burukkan kerajaan.

Isu Chin Peng menjadi perhatian apabila kumpulan pengurusan abu mayatnya membawa pulang abu berkenaan dari Thailand dan ditabur di laut berhampiran lumut Perak serta hutan banjaran Titiwangsa.

Ekoran laporan itu pelbagai pihak menyatakan rasa marah terhadap kerajaan dan tidak kurang juga mengaitkan insiden tersebut dengan cubaan menyebarkan fahaman komunisme di negara ini.

Bagaimanapun, bekas ketua polis negara, Abdul Rahim Noor yang terlibat dengan Perjanjian Damai Hat Yai pada 1989 mempertahankan tindakan tersebut.

Menurut Abdul Rahim, perjuangan PKM telah berakhir sejak perjanjian itu ditandatangani dan pemimpin mereka juga dibenarkan pulang ke negara ini, mengikut perjanjian.


Baca: Kalau abu Chin Peng boleh balik, kenapa abunya tidak - Bekas IGP


Chin Peng - atau nama sebenarnya Ong Boon Hua - lahir di Sitiawan, Perak pada 1924 dan bermastautin di Thailand sejak PKM dan kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian damai berkenaan.

Dalam pada itu, Zahid berkata, kepulangan abu mayat itu paling dirasai oleh kaum keluarga yang menjadi mangsa PKM, termasuklah lebih 10,000 anggota pasukan keselamatan yang berjuang mempertahankan negara daripada ideologi komunisme.

“Mengingati peristiwa itu, ramai anggota keselamatan dibunuh secara kejam dan tidak berperi kemanusiaan.

“Ada yang dibakar hidup-hidup, wanita mengandung dirobek perut mereka hingga terburai, ada mangsa yang berkecai kepala kerana ditembak, rumah dibakar bersama penghuninya dan pelbagai kekejaman," katanya lagi.

Perjuangan PKM sejak sebelum merdeka sering dikaitkan dengan elemen keganasan dan usaha menubuhkan negara komunis.

Bagaimanapun, pihak yang bersimpati dengan mereka mendakwa perjuangan parti itu bertujuan mendapatkan kemerdekaan dari British.

Lihat Komen
ADS