Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes bon AS$6.5 bilion berkaitan 1MDB dipindah ke Mahkamah Tinggi

Kes berhubung bon bernilai AS$6.5 bilion berkaitan 1MDB terhadap bank pelaburan, Goldman Sachs International dan anak syarikatnya di Asia dipindahkan dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pemindahan kes tersebut oleh DPP Norinna Bahadun semasa prosiding terbuka pagi tadi.

Dilaporkan, pada 22 Oktober pihak pendakwa memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu terhadap bank yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Zaini membenarkan permohonan pemindahan terhadap Goldman Sachs International dan Goldman Sachs (Asia) LLC kerana tiada bantahan dari Hisyam Teh Poh Teik, iaitu pihak yang mewakili bank pelaburan antarabangsa itu.

"Saya katakan bahawa perkara ini lebih baik didengar oleh Mahkamah Tinggi, kerana responden (Goldman Sachs International dan Goldman Sachs (Asia) LLC) tidak mempunyai bantahan,” kata Zaini.

Bagaimanapun, hakim menetapkan 26 Dis bagi mendengar permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes bon AS$6.5 bilion ke atas Goldman Sachs (Singapura) PTE dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Tinggi.

Zaini menetapkan tarikh itu apabila dimaklumkan oleh pihak pendakwa dan pasukan pembelaan bahawa notis saman terhadap Goldman Sachs (Singapura) PTE masih dalam proses.

Kemudian, apabila perkara itu dibangkitkan di hadapan Majistret Kuala Lumpur Mohamad Fared Abdul Latif pagi ini, DPP Zaki Asyraf Zubir memberitahu bahawa hakim Mahkamah Tinggi, Zaini membenarkan permohonan pemindahan kes Goldman Sachs International dan Goldman Sachs (Asia) LLC itu.

Zaki juga memaklumkan kepada Fared bahawa Zaini telah menetapkan 26 Dis untuk mendengar permohonan pemindahan kes bon terhadap Goldman Sachs (Singapura) PTE.

Majistret kemudian menetapkan 26 Dis untuk sebutan kes bagi mengemas kini status permohonan pemindahan pendakwaan terhadap Goldman Sachs (Singapura) PTE.

Apabila ditemui selepas prosiding, Zaki menjelaskan kepada media bahawa pendakwaan masih dalam proses menyampaikan notis saman terhadap lengan Singapura Goldman Sachs kerana notis awal tidak mempunyai salinan caj yang dikenakan kepadanya.

Pada Disember tahun lepas, dilaporkan bahawa kerajaan Malaysia memfailkan empat pertuduhan ke atas Goldman Sachs dan didakwa telah meninggalkan fakta-fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak-anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments PJS Limited (Aabar Limited).

Syarikat itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Mac 2012 dan 11 Nov 2013 di 1MDB, di Aras 8, Menara IMC, No 8, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, antara 19 Mac 2012 dan 11 Nov 2013.

Pertuduhan di bawah subseksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Pada 19 Dis tahun lepas, bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, 46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan memainkan peranan dalam pengeluaran bon berkaitan 1MDB.

Roger Ng Chong Hwa

DoJ menganggarkan sekitar AS$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 dan 2014, termasuk sebahagian dana yang dibantu oleh Goldman Sachs.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS