Penyelidik: Kota purba Linggiu tidak wujud
Kota purba Gelanggi atau Linggiu yang digembar-gemburkan tersembunyi di pedalaman Hulu Sungai Johor tidak wujud, kata Kurator Arkeologi, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Warisan Negara, Khalid Syed Ali.
Kota purba Gelanggi atau Linggiu yang digembar-gemburkan tersembunyi di pedalaman Hulu Sungai Johor tidak wujud, kata Kurator Arkeologi, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Warisan Negara, Khalid Syed Ali.
Menurutnya sekumpulan penyelidik seramai 15 orang yang diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Muzium dan Antikuiti (JMA) Datuk Dr Adi Taha telah membuat kajian selama sebulan Julai tahun lepas dan tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan kota itu wujud.
Kajian itu dijalankan ekoran laporan yang memetik penyelidik bebas Raimy Che Ros yang mendakwa telah menemui kota itu setelah menjalankan kajian selama 12 tahun, katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk "Merungkai Misteri Kota Purba Linggiu" pada Forum Kurator anjuran Muzium Negara di ibunegara.
Menurut Khalid, Raimy dipercayai hanya membuat kajian kesusasteraan berdasarkan sejarah Melayu dan tidak merekodkan sebarang penemuan fizikal mengenai kota itu.
Laporan sebuah akhbar Februari tahun lepas mengenai penemuan kota purba Linggiu telah menjanjikan harapan besar terhadap warisan sejarah negara kerana kota itu dikatakan lebih tua daripada kota Angkor Wat di Kemboja dan Borobudur di Indonesia.
Khalid berkata kumpulan penyelidik adalah dari JMA, Pusat Remote Sensing Negara (MACRES), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan Persatuan Ikatan Arkeologi Malaysia.
Ia juga disertai oleh pegawai-pegawai Yayasan Warisan Johor, Jabatan Perhutanan Johor dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Johor.

