Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata rancangan kementerian untuk membawa cadangan pembaharuan penjagaan kesihatan kepada kabinet akan dibentangkan sebelum akhir bulan ini. 

Sekiranya diluluskan oleh kabinet, cadangan pembaharuan penjagaan kesihatan yang dikenali sebagai Sihat Bersama 2030 itu akan menyaksikan rombakan kepada sistem pembiayaan kesihatan.

"Melainkan sudah ada sistem pembiayaan kesihatan, tidak ada gunanya membawa pembaharuan dalam sektor kerajaan dan swasta," kata Dzulkefly seperti dilaporkan oleh The Star hari ini. 

Sihat Bersama 2030 menggariskan tiga tonggak iaitu sistem pembiayaan kesihatan mampan, transformasi sektor awam dan reformasi pengawalseliaan sektor swasta. 

Dzulkefly berkata, ia juga akan meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan sedia ada dan menangani isu-isu dalam industri penjagaan kesihatan seperti kekurangan dana, tempoh masa menunggu yang lama, kekurangan kakitangan perubatan dan beban penyakit tidak berjangkit serta penduduk yang semakin tua. 

"Ia adalah satu pelan komprehensif yang akan menangani sistem kesihatan dan isu-isu penyampaian penjagaan kesihatan di negara ini," katanya. 

Satu pasukan petugas akan ditubuhkan untuk meneliti pelaksanaan dan komunikasi strategi reformasi penjagaan kesihatan sekiranya mendapat kelulusan kabinet.

Apabila cadangan itu diluluskan oleh kabinet, beliau berkata butiran pembaharuan itu akan disediakan untuk mendapatkan maklum balas orang ramai.