Sebanyak 114 program berskala lebih kecil - selain 26 acara utama - disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Terengganu 2020 untuk menggamit kedatangan pelancong, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman.

Beliau berkata di peringkat dewan undangan negeri (DUN) dan kawasan parlimen, ada 300 hingga 400 program disediakan untuk menarik dan menyediakan segala bentuk aktiviti yang sesuai untuk pelancong dari serata dunia.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri yakin dapat mencapai sasaran kedatangan lima juta pelancong pada tahun ini.

Ariffin berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Kalendar Pelancongan Terengganu 2020 dan Sambutan Ambang Tahun Baru 2020 di Duyong Marina, di Kuala Terengganu, malam tadi.

Antara aktiviti itu ialah Himpunan Pendikir Muda, TSG Shimano Fellowship Ride 2020, Karnival Candat Sotong, Festival Setiu Wetland, Festival Kenyir 2020, program Madinah Ramadan, Pertandingan Beautiful Terengganu Pelita Raya, Karnival Pantai dan Festival Peranakan Terengganu.

Ariffin berkata, tumpuan juga diberikan untuk menarik pelancong dari China dan India susulan pengumuman kerajaan memberi pengecualian visa untuk tempoh setahun berkuat kuasa hari ini dan juga dari negara Timur Tengah.

Katanya pihaknya juga menyasarkan untuk meningkatkan 10 peratus pelancong dari China dan antara usaha dilakukan adalah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan dari republik itu untuk menyediakan penerbangan sewa khas ke Terengganu.

- Bernama