Cerita orang politik menggunakan bomoh ini bukan cakap-cakap kosong atau tohmahan. Ia diakui sendiri oleh beberapa orang politik yang pernah menggunakan khidmat bomoh untuk memanjangkan karier politik mereka.

Ada yang menggunakan bomoh kerana kehendak sendiri dan ada pula kerana desakan para penyokong setia masing-masing. Semuanya bagi satu tujuan - untuk menang!

Seorang pemimpin politik Terengganu mengakui telah menemui bomoh terkenal untuk membantunya memenangi kerusi Parlimen yang ditandinginya dalam pilihanraya umum lalu.

Tokoh politik veteran itu berkata, pada mulanya beliau tidak begitu percaya mengenai peranan bomoh tetapi terpaksa mengalah kerana desakan daripada rakan dan penyokongnya supaya menggunakan khidmat bomoh.

"Saya berkerja keras untuk menang, berkempen siang dan malam, jumpa bomoh.....itu semua ikhtiar dan saya percaya kemenangan saya adalah ketentuan Tuhan," katanya dalam satu pertemuan di ibu negara baru-baru ini.

Katanya, walaupun "pengeras" yang dikenakan agak tinggi tetapi beliau puas hati kerana telah memenangi kerusi parlimen yang merupakan kubu kuat pembangkang itu.

Bagaimanapun, beliau enggan memberitahu siapa dan di manakah bomoh tersebut berada serta berapakah jumlah yang dibayar kepada bomoh terbabit.

Minta nasihat bomoh

Seorang pembantu kepada seorang ahli Majlis Tertinggi Umno turut mengesahkan gejala penggunaan bomoh dalam politik negara ini.

"Perbuatan ini tidak boleh disorok, sudah jadi pengetahuan umum. Ramai tokoh Umno mempunyai bomoh masing-masing . Saya sendiri pernah jumpa bomoh politik bagi pihak bos saya. Minta nasihat dan pandangan tentang peluang dalam pemilihan parti."

"Ini tidak salah, sekadar minta pandangan....etika pemilihan Umno tidak melarangnya. Lagipun tidak semestinya bila jumpa bomoh kita percaya cakap dia,"jelas beliau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Dungun Rosli Mat Hassan berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai adanya tokoh politik Umno dari Terengganu atau negeri lain yang menggunakan khidmat bomoh.

Katanya, jika benar dakwaan itu ia merupakan urusan peribadi ahli politik terbabit.

"Secara peribadi saya tidak percaya kepada bomoh dan saya tidak pernah menggunakan khidmatnya kerana saya lebih suka kepada solat dan doa seperti yang dianjurkan oleh agama Islam," katanya.