Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tuntutan Laut China Selatan: M'sia tak bimbang tindak balas China

Malaysia akan meneruskan tuntutannya terhadap bahagian di Laut China Selatan.

Ditanya sama ada Malaysia bimbang tindak balas daripada China, misalnya menerusi kenaikan tarif, Menteri Luar Saifuddin Abdullah menjawab sebaliknya.

"Jika kita takutkan perkara itu, kita tidak akan menghantar tuntutan kita," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Pada Disember lalu, Malaysia menghantar tuntutan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi mendapatkan kejelasan berkenaan had pelantar benua (continental shelf) melangkaui zon ekonomi eksklusif sejauh 322 kilometer (200 batu nautica).

Pada masa ini terdapat beberapa tuntutan bertindih terhadap Laut China Selatan, termasuk China.

Sebelum ini Saifuddin pernah berkata had sembilan garis putus sebagai "mengarut".

Dalam sidang media hari ini, Saifuddin turut membentangkan kad laporan Wisma Putra bagi 2019.

Berkenaan rancangan masa depan kementeriannya, Saifuddin berkata satu pengumuman berkenaan perjanjian air mentah dengan Singapura akan dibuat "tak lama lagi".

Beliau juga berkata Malaysia merancang membuka semula kedutaan di Korea Utara dalam suku pertama 2020, dalam usaha menggalakkan rundingan damai dengan Korea Selatan.

Malaysia juga sedang menimbangkan memulakan misi baru untuk Palestin yang akan berpangkalan di Amman, Jordan.

Ini kerana Malaysia tidak boleh melakukannya di Ramallah, Tebing Barat.

Wisma Putra juga akan merasionalisasikan agensinya di luar negara, dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam, untuk mengurangkan pertindihan dan perbelanjaan kerajaan.

Saifuddin bagaimanapun menjamin ia tidak akan melibatkan penamatan kerja, tetapi hanya penugasan semula.

Lihat Komen
ADS