Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan petugas UEC dah siap, tapi menteri tiada

Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) tidak dapat mengemukakan laporan mereka disebabkan ketiadaan menteri berkaitan walaupun laporan itu telah disiapkan.

Pengerusinya, Eddin Khoo berkata, pasukan petugas itu akan menyerahkan laporan akhir secara peribadi selepas menteri pendidikan baru diumumkan.

"Selepas menteri baru diumumkan, kita perlu membuat perkiraan untuk berjumpa dan menyampaikan laporan itu," jelasnya.

Ditanya mengenai kemungkinan mengemukakan laporan itu kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, beliau menegaskan bahawa pasukan petugas itu hanya akan melaporkan kepada menteri pendidikan.

"Tidak ada apa-apa kaitan dengan mana-mana parti politik. Sila beritahu parti politik dan kumpulan berkepentingan politik, ini adalah isu nasional, dan ia perlu ditangani secara nasional."

"Kami dilantik oleh menteri pendidikan, jadi kami akan melaporkan kepada menteri pendidikan. Semua parti-parti politik dan kumpulan kepentingan politik, sila hormati proses ini."

"Saya sudah agak kecewa dengan angkuhnya kumpulan- kumpulan politik. Mereka tidak mengambil berat tentang proses dan cara yang betul untuk melakukan sesuatu, mereka hanya mahu keputusan yang memberi keuntungan kepada mereka," katanya.

Pasukan petugas khas itu ditubuhkan oleh bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik pada bulan Oktober 2018.

Ia diketuai oleh Eddin Khoo, dan dua lagi ahli iaitu Timbalan Presiden Dong Zhong, Tan Yew Sing dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia Mohamad Raimi Abdul Rahim.

Laporan itu pada awalnya dijadualkan diserahkan pada Julai 2019 tetapi kemudiannya ditukar kepada September 2019. Bagaimanapun, Maszlee mengambil cuti sakit pada 20 Sep 2019, apabila ringkasan penemuan itu sepatutnya dikemukakan kepada kerajaan.

Tarikh penyerahan itu dilanjutkan beberapa kali, tetapi ia tidak dikemukakan sehinggalah penghujung tahun 2019. 

Khamis lalu, Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya pada sidang media khas selepas pertemuannya dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamed.

Bagaimanapun, beliau tidak menggunakan istilah meletak jawatan sebaliknya menggunakan perkataan 'memulangkan' jawatan berkenaan kepada perdana menteri.

"Di atas nasihat YAB perdana menteri, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka dengan hati yang reda walaupun berat, saya, Maszlee Malik, dengan ini memulangkan sebagai menteri pendidikan Malaysia, berkuat kuasa 3 Januari 2020," katanya.

Lihat Komen
ADS