Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bung dakwa calon BN disekat, minta Warisan henti politik samseng

PRK KIMANIS | Umno mendakwa Warisan mengamalkan "politik samseng" apabila bertindak menyekat kenderaan dan menyoal pergerakan calon BN, Mohamad Alamin.

Pengerusi Umno Sabah Bung Mokhtar Radin, berkata budaya seperti itu tidak sepatutnya berlaku apatah lagi dengan usia Warisan yang masih muda di Sabah.

"Budaya samseng harus dihentikan. Warisan sebuah parti yang sedang belajar.

"Calon (BN) ditahan semalam, di Kampung Batu 6.

"Kita akan buat laporan kerana tahan kereta calon dan tanya mahu pergi mana, itu bukan urusan dia (Warisan) tanya nak pergi mana," katanya ketika ditemui di Membakut, hari ini. ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Malam tadi Mohamad ketika berceramah di Membakut mendakwa jentera kempen mereka dihalang daripada memasuki kampung berkenaan.

Mohamad berkata penyokong BN tidak boleh takut dengan kekangan itu sebaliknya memberikan tumpuan untuk mengalahkan Warisan.

"Kita kena fokus kerja kita, jangan kita takut dan gentar," katanya.

Menurut bekas Adun Bongawan itu lagi, beliau turut menerima laporan mengenai dakwaan kekerasan yang digunakan oleh penyokong kerajaan.

Dalam pada itu Bung mengakui tiada sebarang kekerasan dilakukan terhadap Mohamad dalam insiden yang berlaku petang semalam.

Bagaimanapun katanya, beliau sangat yakin pihak yang menahan kenderaan jentera BN itu adalah jentera dari Warisan.

Terdahulu Bung menerima penyertaan dua daripada tiga pengerusi majis pengurusan komuniti kampung (MPKK) yang meletak jawatan dan bertindak keluar Warisan.

Dua bekas pengerusi yang meletak jawatan itu ialah, Mohd Fadzly Abdul yang juga bekas pengerusi MPKK Kampung Mandangin dan bekas pengerusi MPKK Lambunau Norliza Hashim.

Turut bersama mereka ialah kira-kira 170 penyokong.

Bagaimanapun, seorang lagi pengerusi MPKK Membakut yang dikatakan akan meletak jawatan, tidak hadir.

Mengulas mengenai perkara itu, Bung berkata peletakan jawatan dua individu itu membuktikan mereka hilang keyakinan terhadap keupayaan kerajaan Warisan.

Lihat Komen
ADS