Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafie: Lapor polis jika ada bukti kami sekat BN

PRK KIMANIS | Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal menafikan dakwaan bahawa parti Warisan yang diterajuinya telah menyekat BN daripada memasuki sebuah kampung untuk berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Beliau mempersoalkan sekiranya calon BN, Mohamad Alamin mempunyai bukti untuk membuat tuduhan berkenaan.

"Di mana kita block, tidak kita block," katanya kepada media selepas menghadiri majlis sambutan Krismas dan Tahun Baru di Bongawan Estate hari ini.

"Kita buat (sambutan) Krismas, dia beritahu macam-macam. Buat laporan polis kalau mereka ada bukti. Kalau ada bukti beritahu kami," katanya.

Beliau berkata Warisan tidak gentar dengan kempen BN di kawasan kampung.

"Kenapa kita mesti takut dengannya? Bagi kami, ayuh berlawan secara adil," kata Shafie.

Sementara itu, calon Warisan, Karim Bujang juga menafikan bahawa penyokongnya menyekat BN berkempen di kawasan kampung.

"Saya fikir itu  tak betul. Jika apa yang mereka katakan betul, polis ada untuk mereka buat laporan," katanya.

Dalam ceramah malam tadi, Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Moh atau Datuk Moh, mendakwa jentera BN telah disekat daripada memasuki sebuah kampung.

Tanpa menamakan mana-mana parti, Mohamad berkata lawannya kini menjadi lebih agresif dan ganas.

Shafie juga berkata penganjur sambutan Krismas dan Tahun Baru hari ini tidak meletakkan latar pentas untuk mengelakkan kontroversi.

Beliau merujuk kepada sambutan Krismas dan Tahun Baru yang dihadirinya pada 4 Jan, iaitu hari pertama kempen di Kimanis di mana Umno mendakwa Warisan memberikan hadiah cabutan bertuah untuk memancing undi.

Warisan sebaliknya mendakwa acara itu dianjurkan oleh masyarakat Membakut Kadazan Dusun Murut.

Majlis hari ini menyaksikan 500 orang dijamu dengan makanan dan air mineral.

Ketika ditemui media, Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah dan presiden KDN Malaysia, Peter Anthony enggan mendedahkan siapakah penganjur majlis.

Difahamkan masyarakat setempat di Bongawan Estate menganjurkan sambutan tersebut. 

Pilihan Raya Kecil Kimanis menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Karim yang mewakili Warisan dan Mohamad dari BN.

Karim merupakan Adun Bongawan selama lima penggal dari tahun 1990 hingga 2013 sebelum digantikan oleh Mohamad. 

Mohamad, bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi DUN Bongawan pada pilihan raya umum 2018.

Lihat Komen
ADS