Ringgit dijangka akan terus mengukuh ke arah 4.00 berbanding dengan dolar AS menjelang akhir 2020, walaupun berhadapan dengan cabaran serta ketidakstabilan jangka pendek.

Pakar Ekonomi RHB Research, Ahmad Nazmi Idrus berkata perkembangan positif yang timbul daripada kesan perjanjian perdagangan Fasa Satu Amerika Syarikat (AS)-China dan daya tarikan relatif aset-aset Malaysia mungkin akan mendorong kenaikan ringgit.

Di samping itu, kelemahan pertumbuhan ekonomi AS, memandangkan sokongan daripada pemotongan cukai korporat berakhir, dijangka akan menyebabkan Rizab Persekutuan AS mengurangkan lagi kadar faedah, seterusnya, melemahkan dolar US," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, Ketua Penyelidik dan Pakar Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass juga meramalkan ringgit akan mencecah 4.00 menjelang akhir tahun ini berbanding dolar AS daripada 4.11 pada suku pertama 2020.

Menurut beliau, dalam laporan pasaran global tematik hari ini, walaupun menghadapi cabaran luaran dan isu-isu domestik, ringgit ditutup kukuh pada 2019, meningkat 1.1 peratus kepada 4.09 berbanding dolar AS, manakala semasa tahun tersebut, mata wang berkenaan didagangkan dalam jajaran yang lebih lebar dengan tahap tertinggi dan terendah pada 4.06 dan 4.220.

"Bagi keseluruhan tahun 2019, ringgit secara purata berada pada 4.14 dengan tempoh akhir pada 4.09.

"Untuk ringgit mengukuh berbanding dolar AS pada 2020, ia turut bergantung kepada Yuan, memandangkan kedua-duanya berkait rapat dengan dolar AS," katanya lagi.

Dass berkata pada tahun ini, Yuan didagangkan dalam jajaran yang lebih lebar dengan tahap tertinggi serta rendah pada 6.69 dan 7.18, manakala bagi tahun penuh 2019, ia secara purata berlegar pada 6.91 dengan tempoh akhir pada 6.96.

"Kelemahan dolar AS, pengukuhan Yuan, prinsip asas makro domestik yang baik, kenaikan harga minyak serta manfaat positif daripada aliran modal ke rantau ini, menjanjikan prospek yang lebih menguntungkan kepada ringgit.

"Bagaimanapun, keadaan ringgit ini akan dipacu oleh beberapa acara seperti pengekalan Malaysia oleh FTSE Russell dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia semasa kajian separuh tahunnya pada Mac 2020, penarafan agensi global, penamatan kitaran kadar faedah Rizab Persekutuan yang mana, ia akan memberi ruang kepada BNM untuk mengadakan satu kadar dalam kadar polisi semalaman, peralihan politik dan ketegangan geopolitik," katanya.

- Bernama