Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Rakaman audio tak boleh jadi saksi
Diterbitkan:  Jan 10, 2020 6:20 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan rakaman audio perbualan Najib Razak yang didedahkan oleh SPRM baru-baru ini tidak boleh dijadikan sebagai saksi.

Sebaliknya Abdul Hadi berkata sebarang tindakan perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat dan dinilai.

"Komen saya audio ni tak boleh jadi saksi, audio ni ialah satu keterangan saja yang perlu diserahkan kepada pihak berkenaan untuk siasat. Terserah kepada polis, pihak jabatan peguam negara, pihak kehakiman dapat menilai.

"Bukan rakyat yang buat keputusan. Kita ada mahkamah, kita ada institusi yang menguatkuasakan undang-undang.

"Jangan pulak kita jadikan rakyat sebagai hakim," katanya ketika diminta mengulas mengenai audio rakaman tersebut.

Beliau berkata demikian dalam video hantaran yang dimuat naik di Twitter beliau hari ini.

Pada 8 Januari, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata pihaknya menerima rakaman audio itu daripada sumber yang tidak mendedahkan namanya.

Kata Latheefa, SPRM memutuskan untuk mendedahkan rakaman audio itu kepada awam selepas mengesahkan kesahihannya kerana isu itu melibatkan kepentingan umum.

Sementara itu, Hadi berkata pendedahan rakaman audio tersebut tidak akan menjejaskan kempen pilihan raya kecil (PRK) Kimanis yang sedang berlangsung.

Katanya, PRK banyak menumpukan kepada isu setempat dan tidak memberi kesan kepada pengundi.

"Saya rasa orang Kimanis, dapat lihat sendiri. Pengundi Kimanis, Sabah dapat menilai sendiri," katanya.

Dikatakan dirakam antara Januari dan Julai 2016, Najib didengar dalam satu rakaman meminta putera raja Emiriyah Arab Bersatu untuk membantu melindungi anak tirinya Riza Aziz dari penelitian Jabatan Kehakiman AS (DOJ) mengenai kes 1MDB.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad juga didengar dalam rakaman itu membincangkan siasatan 1MDB oleh SPRM dengan Najib, isterinya Rosmah Mansor dan bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Rahim.

Pendedahan ketiga adalah dari perbualan yang merakamkan Rosmah meninggikan suara menasihati suaminya, Najib mengenai 1MDB.

Lihat Komen
ADS